Friday, January 24, 2014

Ku Nan tegur Mukhriz, guna saluran betul

OLEH DIYANA IBRAHIM January 23, 2014
Kata Tengku Seri Adnan Mansur, Mukhriz seharusnya menggunakan saluran yang betul dalam menyatakan pandangan, kerana tindakannya itu menjejaskan nama parti. – Gambar The Malaysian Insider, 23 Januari, 2014. 

Umno minta Mukhriz tegur parti ikut saluran betul, kata Ku Nan

Kata Tengku Seri Adnan Mansur, Mukhriz seharusnya menggunakan saluran yang betul dalam menyatakan pandangan, kerana tindakannya itu menjejaskan nama parti. – Gambar The Malaysian Insider, 23 Januari, 2014.

Tengku Seri Adnan Mansur hari ini berkata Umno sudah memberi teguran kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya menggunakan saluran yang betul dalam menyatakan pandangan, dan bukannya secara terbuka.

Setiausaha Agung Umong itu berkata, Mukhriz seharusnya menggunakan pendekatan perbincangan dalaman bersama pimpinan tertinggi kerajaan terlebih dahulu, kerana tindakannya itu menjejaskan nama parti.
"Itu yang kita persoalkan, beliau boleh berjumpa sendiri presiden pimpinan kerajaan kita, dengan adanya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, tidak ada masalah untuk hadir dan berbincang.

 "Saya sendiri bercakap dengan beliau (Mukhriz), menasihatinya agar menggunakan saluran yang betul dalam parti sendiri daripada membuat kenyataan terbuka begitu," katanya dalam satu sidang media selepas menyerahkan surat tawaran kepada pemohon sewa perumahan Awam di Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ahad lalu, Mukhriz membuat kenyataan sekiranya kerajaan Umno BN terus mengamalkan dasar yang tidak popular, mereka bakal menyaksikan parti itu rebah.

Mukhriz merupakan anak kepada bekas perdana menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Antara lain Mukhriz berkata BN bakal berhadapan laluan sukar dalam pilihan raya akan datang sekiranya kerajaan terus meminggirkan suara dan kepentingan rakyat.
"Saya bimbang kalau hanya fikirkan dasar yang baik dan betul saja dengan ketepikan terus soal populariti, maka akhirnya dalam PRU (pilihan raya umum) akan datang, walaupun kita buat perkara yang betul tetapi disebabkan persepsi rakyat sudah begitu, kita akan kecundang.

"Ketika itu, tiada apa yang boleh dilakukan kerana nasi dah jadi bubur," katanya.
Sementara itu Menteri Wilayah Persekutuan turut mengulas mengenai insiden kekasaran seorang ahli Umno ke atas Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan, dan menyerahkannya kepada Lembaga Disiplin parti Melayu itu.

"Tugas saya sebagai Setiausaha Agung Umno telah selesai dengan memberi surat tunjuk sebab selama 14 hari.
"Jadi terpulang kepada Lembaga Displin sama ada ingin memanggil, menahan atau memecat," katanya.
Beliau pada masa sama turut berkata, Umno memandang serius dan memantau ahli-ahlinya supaya berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan.
Atas dasar itu, Tengku Adnan berkata, beliau telah mengeluarkan sebanyak 10 surat kepada ahli Umno dalam hal berkaitan dengan disiplin.

Antaranya ialah isu melibatkan sidang media Pemuda Umno Pahang semalam yang membantah lantikan ketua-ketua Pemuda bahagian oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
"Saya akan berjumpa dengan mereka selepas ini untuk berbincang isu ini, dan mereka juga perlu menjawab surat tunjuk sebab.
"Membantah kemudian buat secara terbuka cakap pada media perkara itu tak patut, seharusnya beritahu pada saluran betul dan kalau mengikut hak Khairy sebagai Ketua Pemuda bebas melantik siapa saja," katanya.- 23 Januari, 2014.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment