Friday, March 27, 2015

Pegawai kastam kurang ceria dalam video GST

27 Mar 2015
Satu video mempromosi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikesan tersebar di media sosial hari ini yang menerima pelbagai reaksi dari pengguna Internet.

Ia antara lain menunjukkan para pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyanyi beramai-ramai bagi mempromosi cukai yang akan berkuatkuasa Rabu depan.

Namun ada di antara para pegawai tersebut yang kelihatan tidak begitu ceria dalam video sepanjang tiga minit itu.

Pegawai lelaki itu, yang berdiri dalam barisan paling belakang, bagaimanapun dilihat berjaya mengekalkan kedudukan dan mengikut rentak tarian.

Malaysiakini sedang menghubungi Jabatan Kastam untuk mengesahkan sama ada mereka benar-benar bertanggungjawab ke atas penerbitan video berkenaan.

Persoalan sama ada pegawai tersebut dipaksa untuk menyertai tarian berirama itu juga masih belum diketahui.

Begitu juga bagi jumlah dana yang digunakan untuk penerbitan itu.

Ada kalangan pengguna Internet yang berpendapat, Jabatan Kastam sepatutnya mengupah seorang pereka tari untuk memperkemas persembahan tersebut.

"Mereka perlukan seorang pereka tari denga lenggok tarian lebih baik. RTM sangat," kata pengguna Facebook, Fazi Ghazali.

Ada juga yang tidak yakin dengan kemampuan Jabatan Kastam menguruskan kutipan cukai tersebut apabila melihat mutu video berkenaan.

"Hancur lagu dan video GST Kastam ini. Lagu dan video pun tidak boleh urus dengan baik macam mana hendak urus cukai?," kata penulis muda terkenal, Pipiyapong di Twitter.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment