Tuesday, August 4, 2015

Itu mayat anak kami'

Yakin mayat anak
Muda memandang sayu gambar wajah anaknya dan tiga lagi nelayan yang terlibat dalam insiden bot hilang sejak lebih sebulan lalu.
KEMAMAN - “Lepas lihat jasad yang ditemui pakcik dan isteri yakin itu anak kami,” kata Muda @ Abu Bakar Salleh, 67, susulan penemuan mayat di perairan Pulau Kapas pada Khamis lalu, iaitu selepas dua hari bot TRF1078 dinaiki anaknya bersama tiga lagi nelayan dijumpai karam.

Gerak hati mereka mengiakan sekujur tubuh uzur yang ditatap adalah anak mereka, Azuari, 41, ketika mereka melakukan pengecaman ke atas mayat tersebut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Muda berkata, dia dan isteri percaya bahawa mayat itu adalah anak mereka setelah melihat bentuk dada bidang dan kesan bonjolan pada paha kiri mayat berkenaan.

“Peha kiri Azuari ada kesan bengkak (bonjolan) sebab dia pernah tertusuk kayu di paha. Sebab itu sebaik sahaja pakcik lihat mayat, pakcik toleh ke arah isteri dan isteri secara spontan berkata ‘betul dah bang, memang anak kita’.
“Walaupun keadaan mayat uzur sebab tangan kedua-dua tangan sudah tinggal tulang dan paras paha ke bawah juga tinggal tulang tapi bahagian dada masih sempurna jadi kami cam dada anak kami dan kesan bonjolan pada paha yang masih dapat dilihat dengan jelas,” katanya.

Selain itu, Muda berkata, seluar dalam yang masih belum tertanggal pada badan mayat yang ditemui berkenaan juga sama dengan seluar dalam yang dibawa anaknya itu ketika keluar ke laut.

Ujian DNA untuk pengesahan
Muda memberitahu, bagi mengesahkan secara rasmi bahawa mayat tersebut adalah anaknya, sampel darah mereka juga diambil untuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
“Kami diberitahu bahawa keputusan DNA akan diketahui dalam tempoh sebulan, namun kami minta agar ia disegerakan agar proses pengebumian dapat dipercepatkan jika betul dia anak kami,” katanya.

Muda mengakui penemuan bot pukat tunda TRF1078 pada 28 Julai lalu di dasar laut dalam jarak kira-kira 10 batu nautika daripada muara Kuala Kemaman menjawab teka-teki yang bermain dalam fikirannya mengenai punca bot itu hilang sejak 26 Jun lalu.

“Alhamdulillah, berkat doa orang ramai, walaupun sudah lebih sebulan ALLAH SWT beri petunjuk dan saya harap dua lagi nelayan yang masih hilang, iaitu sepupu saya, Ab Wahab Tekak, 57, dan anaknya, Mohd Nasri, 30, akan turut ditemui dalam masa terdekat," katanya.

Pada 4 Julai lalu mayat Mohd Zawawi Seman, 36, terlebih dahulu ditemui dan mayatnya itu juga dijumpai dalam keadaan terapung sekitar perairan Pulau Kapas.

Bot karam ditarik ke darat
Sementara itu, bot TRF1078 bernilai RM500,000 yang karam berjaya diapungkan sebahagiannya dan ditarik berhampiran kawasan darat di Kuala Kemaman pada petang semalam.

Bot malang itu tiba di hadapan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman pada kira-kira jam 2.50 petang selepas operasi menarik menggunakan bot Ilham Tiga milik Ilham Marine Sdn Bhd dan bot Geliga Tiga sebagai pemandu arah dimulakan pada jam 10.30 pagi.

Pemilik bot yang mengetuai operasi menyelamatkan bot, Abdul Rashid Abdullah, 72, berkata, sebanyak 35 buah tong dram diikat pada botnya itu bagi memudahkan kerja menarik ke kawasan jeti Kuala Kemaman.

“Setakat ini bot belum terapung 100 peratus dan saya akan periksa keadaan bot jika berlaku kerosakan pada bahagian perut bot. Lepas dibaiki ia akan kembali terapung sepenuhnya,” katanya sambil memberitahu kerja-kerja menyelamatkan botnya itu menelan kos lebih RM45,000.

Seramai 20 kru bot terlibat dalam operasi itu termasuk Pengurus Besar Ilham Marine Sdn Bhd, Kapten Hashim Ahmad yang memberi khidmat menarik bot secara percuma seterusnya menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung Abdul Rashid.

“Namun, nyawa kesemua nelayan yang mencari rezeki dengan bot ini lebih bernilai. Saya harap mereka yang masih hilang dapat ditemui secepat mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment