Wednesday, August 5, 2015

Pasukan forensik gagal keluarkan mayat dari lubang

Sinar Harian
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu diberitahu bahawa pasukan forensik polis gagal untuk mengeluarkan mayat beberapa orang penceroboh Sulu yang dibuang ke dalam lubang di Kampung Tanduo di Lahad Datu akibat tembak-menembak yang berlaku di kampung itu.
  
Ketua Seksyen Siasatan Tempat Kejadian (SCI), Superitendan Soo Me Tong berkata pada 6 Mac 2013, pegawai penyiasat Asisten Komisioner Mohd Shariff Abdul Wahid telah mengarahkannya untuk memeriksa lubang tersebut dan membawa keluar mayat-mayat.
  
Semasa membuat pemeriksaan dalam lubang, pegawai forensik itu berkata: "Saya terdengar bunyi tembakan dari senjata jenis automatik dari arah depan dan juga dari sebelah kanan."
  
Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013, Soo berkata sebaik sahaja tembak-menembak berlaku, beliau terdengar suara mengarahkan polis supaya berundur.
  
Beliau berkata tembak-menembak berlaku selama kira-kira satu jam setengah tetapi Mohd Shariff memutuskan untuk membatalkan pemeriksaan di lubang tersebut apabila situasi kembali pulih.

Pegawai Penyiasat itu kemudian mengarahkan 90 orang dan anggota polis yang terlibat supaya kembali ke Balai Polis Cenderawasih.
  
Menurut Soo, dalam lubang itu terdapat sembilan mayat pencerobohan yang berpakaian tentera dan menyifatkan keadaan mayat-mayat itu sebagai 'reput dan busuk'.
  
Beliau berkata lubang yang mayat-mayat itu ditemui ditutup dengan papan kayu dan daun kelapa sawit serta dikawal oleh tentera.
  
Soo memberitahu mahkamah bahawa sebelumnya pada 2 Mac 2013, beliau menerima beberapa barang rampasan terdiri daripada senjata api dan pakaian di Markas Taktikal VAT69 di Felda Sahabat 16.
  
Selepas menerima barang rampasan itu dari pegawai kanan VAT69 SAC Datuk Azizan Abdul Aziz, Soo berkata beliau mengarahkan salah seorang anggotanya untuk mengambil 30 gambar barangan tersebut untuk tujuan dokumentasi.

"Terdapat tiga pelancar roket hidup. Saya nasihatkan Asisten Komisioner Mohd Shariff untuk memanggil Unit Pemusnah Bom untuk memusnahkan pelancar roket tersebut," kata beliau dan menambah Asisten Superitendan Barnabas Madaun dari Unit Pemusnah Bom dipanggil untuk memusnahkan bom tersebut.
  
Soo memberitahu mahkamah beliau dan pasukannya kemudian mula menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan cuba untuk mengesan cap jari pada barang-barang itu serta calitan ke atas senjata api dan senjata lain untuk mendapatkan profil DNA dan "Gun Shot Residue (GSR)".
  
Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
  
Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
  
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April, 2013.
  
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - Bernama

No comments:

Post a Comment