Saturday, August 29, 2015

Polis serbu pentas independen Rumah Api

Malaysiakini 29/08/15


Polis menahan lebih 100 anak muda dalam satu operasi ke atas persembahan muzik di pentas independen, Rumah Api, di Pekan Lama Ampang, lewat malam tadi.

Seorang anggota kumpulan yang sepatutnya membuat persembahan, Joe Kidd berkata, polis menyerbu ruang persembahan itu ketika kumpulan punk hardcore Virginia on Duty sedang beraksi pada kira-kira jam 11.30 malam.

Penerima zamalah Asia Public Intellectual itu memberitahu Malaysiakini, beliau bersama individu lain seterusnya dibawa dengan tiga trak polis ke IPD Ampang kira-kira sejam kemudian.
Joe Kidd yang juga pemain gitar kumpulan punk Carburetor Dung menolak andaian bahawa serbuan itu ada kena mengena dengan perhimpunan BERSIH 4 hari ini.
“Jika begitu (operasi mengenai perhimpunan BERSIH 4), kami tentu sudah ditahan di dalam lokap sekarang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau seterusnya menyifatkan operasi melibatkan kira-kira 30 anggota polis itu tidak lebih dari tindakan yang menyusahkan mereka.

“Ini sangat mengarut dan membuang masa. Tindakan mereka juga tidak diselaras dengan baik,” kata bekas wartawan itu lagi.
Jelasnya, mereka terpaksa menunggu sehingga jam tiga pagi sebelum kesemuanya selesai menjalani ujian dadah.

“Ia samalah seperti operasi ke atas kelab fengtau. Mungkin mereka hanya ingin memenuhi kuota tangkapan, jadi tempat paling sesuai adalah tempat seperti Rumah Api,” tambahnya.

Polis merakam kenyataan pengendali dewan tersebut serta seorang lagi yang bertindak sebagai juruaudio, kata Joe Kidd.

Ketika laporan ini disiarkan, kesemua yang ditahan masih belum dibebaskan.
Selain Carburetor Dung dan Virginia on Duty, gig tersebut juga menampilkan kumpulan grindcore Badass Farmer dan kumpulan metal Blind Tribe.

No comments:

Post a Comment