Monday, August 31, 2015

Umno Sg Besar mahu Muhyidddin lepas jawatan

Malaysiakini 30/08/15


Umno Bahagian Sungai Besar hari ini meluluskan usul meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan timbalan presiden parti secara terhormat.

Usul itu dicadangkan oleh ketua bahagian berkenaan, Datuk Jamal Md Yunos dalam persidangan perwakilan Umno bahagian Sungai Besar di sini hari ini sebelum ia dibahas dan diluluskan dengan sejumlah 274 perwakilan menyokong manakala 171 membantah.

Usul tersebut antara lain berpandangan bahawa Muhyiddin perlu memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi meneruskan usaha mengukuhkan parti untuk berdepan pilihan raya umum akan datang.

Jamal dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu berakhir, berkata usul itu dibangkitkan setelah pihaknya berpendapat Umno tidak boleh mempunyai dua nakhoda, apatah lagi di saat parti sedang diasak dengan pelbagai isu yang memerlukan kesepakatan semua anggotanya.

"Usul ini menerima sokongan lebih dua pertiga perwakilan yang hadir. Kita merasakan Najib perlu mempunyai pembantu yang setia, iaitu Ahmad Zahid. Masa sudah terlalu suntuk, fokus perlu diberikan untuk menentang pihak lawan.
"Jika Muhyiddin terus kekal sebagai Timbalan Presiden, Najib nanti tidak ada kerja lain kerana asyik perlu menjawab persoalan yang ditimbulkan Muhyiddin," katanya.

Jamal berkata cadangan usul itu juga bagi menjaga kerahsiaan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.
-Bernama

No comments:

Post a Comment