Thursday, September 3, 2015

Cadangan keluarkan SPRM dari perkhidmatan awam

03/09/15


Cadangan sedang dipertimbangkan untuk mengeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada perkhidmatan awam dan Jabatan Perdana Menteri, dan menjadikan ia badan yang menjawab kepada Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengkaji cadangan itu.

Menjadikan SPRM sebagai perkhidmatan berasingan akan memerlukan pindaan terhadap perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga anggota Parlimen, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Anti-Rasuah antarabangsa (IACC) Ke-16 semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya pada persidangan itu, Low berkata SPRM akan dijadikan suruhanjaya perkhidmatan berasingan untuk membolehkan ia meningkatkan kapasiti dan profesionalisme staf dan mempunyai kawalan ke atas terma dan syarat penggajiannya.
Beliau berkata pelantikan dan tempoh khidmat Ketua Pesuruhjaya perlu dijadikan lebih terjamin.

Beliau berkata juga ada cadangan untuk Jabatan Audit Negara melaporkan kepada jawatankuasa khas dwipartisan di Parlimen, dan kuasa serta skop audit akan diperluaskan.
"Malaysia komited untuk melindungi kesucian dan kebebasan institusi-institusi awamnya dan kami sedang dalam proses memperkukuhkan SPRM dan Jabatan Audit Negara," katanya.

Low, bekas presiden Transparency International-Malaysia mengulangi komitmennya untuk melindungi SPRM daripada sebarang campur tangan.
"Saya bukan seorang ahli politik, saya akan kotakan apa yang saya janjikan," katanya.

Persidangan yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta daripada 130 negara itu akan berlangsung tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kasim Mohamed menyeru masyarakat untuk menjadi pelindung dalam usaha mempertahankan institusi antirasuah itu daripada sebarang campur tangan yang akan menjejaskan kebebasannya.

SPRM turut menggesa pengubal undang-undang tanpa mengira perbezaan politik untuk bersatu serta membantu suruhanjaya untuk mewujudkan satu institusi antirasuah yang benar-benar bebas.

"Pendakwa raya di Malaysia yang bertanggungjawab dalam melakukan pendakwaan juga hendaklah bertindak tanpa pilih kasih dalam tugas yang diamanahkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) kali ke-16 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama tiga hari bermula semalam.

Selain itu, Abu Kasim turut mengingatkan anggotanya untuk sentiasa bertindak tanpa rasa takut dan pilih kasih dalam apa jua situasi.
Beliau berkata pihaknya tidak membenarkan sebarang kekebalan wujud dalam setiap siasatan yang dilakukan oleh anggota-anggotanya.
"Kami percaya untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam isu kekebalan, semua institusi dalam sistem keadilan jenayah mesti bertindak mengikut merit setiap kes," katanya.
-Bernama

No comments:

Post a Comment