Saturday, September 5, 2015

Kena patuk mesti jatuh hari Isnin’


‘Kena patuk mesti jatuh hari Isnin’
Kaki Mohd Ayub yang dipatuk ular senduk.
KUALA KRAI - Suratan atau kebetulan? Namun, itulah hakikat yang terpaksa diterima seorang remaja apabila  dipatuk ular sebanyak empat kali dan lebih mengejutkan kejadian itu pasti akan berlaku pada hari Isnin.

Lebih menghairankan, setiap ular pasti akan patuk di tempat yang sama iaitu pada kaki kirinya.

Terbaru, Mohd Ayub Mohd Rozi, 19, dipatuk ular senduk di bilik air di rumahnya pada Isnin lalu dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Krai

Menurut pelajar jurusan Diploma Marin itu, dia dipatuk selepas terpijak haiwan berbisa itu.

“Saya tak sangka ular ada dalam bilik air. Lepas kena patuk, sempat lagi saya ikut ayah baiki zink rumah.

“Esoknya saya mula susah nak bernafas, dan terus beritahu ayah. Kami cepat-cepat pergi Klinik Kesihatan Manek Urai sebelum kena rujuk di Hospital Kuala Krai," katanya.

Mimpi dipatuk ular

Sinar Harian difahamkan, sebelum kejadian, Mohd Ayub ada bermimpi dipatuk ular dan tidak menyangka mimpi tersebut menjadi kenyataan.

Menceritakan kejadian dipatuk ular, anak mangsa banjir di Manek Urai itu berkata, kali pertama dipatuk ketika berusia 10 tahun.

Menurutnya, akibat patukan itu dia terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu selama sebulan.

“Kali kedua kena patuk masa umur 15 tahun dan saya dirawat di Hospital Kuala Krai dalam beberapa hari.

“Kejadian ketiga pula saya kena patuk masa saya berdiri berhampiran pokok nam nam di rumah dua tahun lalu,” katanya.

Mohd Ayub berkata, ketika kejadian ketiga itu berlaku dia sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
 
“Masa tu juga, sebelum kejadian saya mimpi kena patuk ular, terpaksalah jawab peperiksaan atas katil hospital.

“Saya tak sangka kerap kena patuk...kena patuk pula mesti jatuh hari Isnin dan mesti kena di kaki kiri tempat yang sama...harap lepas ini janganlah kena patuk lagi, fobia saya dibuatnya,” katanya.

Kerap disengat binatang berbisa

Sementara itu, bapanya, Mohd Rozi Ibrahim, 43, bersyukur anaknya selamat memandangkan ketika dibawa ke Hospital Kuala Krai anaknya tercungap-cungap akibat kesukaran bernafas.

Menurutnya, sejak kecil anak sulungnya itu kerap menerima rawatan di hospital memandangkan acapkali disengat haiwan berbisa seperti lipan.

“Masa kecil dia kerap kena sengat lipan, meningkat remaja pula asyik kena patuk ular. Saya harap kejadian Isnin lepas adalah yang terakhir,” katanya.

Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kuala Krai (ALP) Salema Sapie, berkata, dia kagum dengan kekentalan semangat Mohd Ayub.

“Biasanya mangsa patukan ular berdepan kesakitan serius.

“Tapi berbeza apa yang berlaku ke atas Mohd Ayub walaupun telah empat kali dipatuk,” katanya yang juga Pengerusi Skuad 1 Malaysia Kuala Krai.

Turut melawat mangsa, Pegawai Perhubungan Awam, Hospital Kuala Krai, Mohd Rosiah Ahamed.

No comments:

Post a Comment