Friday, September 11, 2015

Polis siasat wartawan Al Jazeera

11/09/15

Polis akan menyiasat wartawan Al Jazeera, Mary Ann Jolley berhubung laporan yang dibuatnya mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan akan dibuat ke atas wartawan berpangkalan di Australia itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat mahu menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Khalid juga menafikan dakwaan terkandung dalam program mingguan Al Jazeera, 101 East yang berjudul Murder in Malaysia.

Antara lain laporan itu mendakwa Sirul Azhar - yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya - cuba memeras ugut Datuk Seri Najib Razak.
Dakwaan itu dibuat berdasarkan sari pati diperoleh daripada telefon genggam bekas komando polis berkenaan.

"Siasatan polis tidak pernah menunjukkan ada cubaan memeras ugut perdana menteri atau seumpamanya," kata Khalid kepada Malaysiakini.

Tak boleh cakap
Khalid juga berang dengan laporan itu yang memetik sumber keluarga Sirul Azhar yang dirahsiakan.
Melalui invididu itu penonton 101 East diberitahu kononnya Abdul Razak Baginda yang menarik pemicu bagi membunuh wanita Mongolia terbabit.
"Ini semua mengarut. Ia adalah dakwaan tidak berasas untuk mengelirukan orang ramai.
"Siasatan rapi polis tidak menemui apa-apa bukti menunjukkan Abdul Razak ada di tempat kejadian," katanya.
Mengenai tiada sebarang motif dibuktikan di sebalik pembunuhan Altantuya, Khalid berkata isu berkenaan sudah dijelaskannya beberapa kali sebelum ini.
"Mahkamah mendapati tiada motif dapat dibuktikan. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mahkamah.

"Tetapi ada kes tertentu, motif tidak diperlukan bagi membolehkan seseorang tertuduh disabitkan kesalahan atas sesuatu jenayah," katanya.
Berlepas ke Australia

Ditanya mengapa Mary Ann diusir ketika dia masih menyiapkan laporannya, Khalid berkata soalan itu perlu diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

"Saya cuma mahu menjelaskan dakwaan dibuat dalam laporan itu tidak betul dan tidak selaras dengan siasatan dibuat polis.
"Tambahan pula kes ini ditangani di peringkat Mahkamah Persekutuan. Mengapa isu ini dibangkitkan sekarang? Adakah ini satu lagi plot terhadap perdana menteri?" katanya.

Abdul Razak - yang menjadi orang kepercayaan Najib - didakwa atas kematian Altantuya itu namun hakim kemudian mendapati mereka tidak bersalah.
Bagaimanapun pada Januari lalu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan Sirul Azhar dan Azilah Hadri bersalah atas kematian Altantuya pada 2006 dan dihukum mati.

Sirul Azhar 'terselamat' kerana berlepas ke Australia sebelum penghakiman dibuat dan kini ditahan di pusat tahanan imigresen negara berkenaan.
Usaha kerajaan mengekstradisi Sirul Azhar gagal kerana dasar Australia yang tidak akan menghantar pulang mana-mana pesalah yang berdepan hukuman mati di negara mereka.

Perdana menteri pula sentiasa menafikan terbabit dalam kes berkenaan atau pernah bertemu Altantuya
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment