Raja-Raja Melayu dipohon bertindak lebih keras dengan memecat Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi
Ali susulan kontroversi berpanjangan 1MDB.
Anggota parlimen Pokok
Sena Datuk Mahfuz Omar berkata raja-raja sebagai payung negara tidak
boleh membiarkan institusi awam dan pegawainya bersendirian apabila
berlaku “ugutan” ketika menyiasat isu itu.
Beliau membangkitkan
kes perpindahan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas polis Datuk Hamid
Bahador.
“Ke bawah DYMM Raja-Raja Melayu tidak boleh membiarkan
institusi raja-raja tercalar oleh institusi awam yang berdiri atas nama
diraja bertindak berasaskan campur tangan kuasa politik pemimpin korup
yang menerajui negara sekarang,” katanya.
Mahfuz mendakwa “pentadbiran negara sekarang tak ubah seperti mana perjalanan pentadbiran sebuah kumpulan mafia”.
“Dalam
kumpulan mafia siapa lawan ketua akan ditembak tetapi dalam politik
negara siapa yang mengancam Najib akan dicantas, diugut dan sebagainya,”
katanya.
Beliau juga berdoa supaya Allah memberikan petunjuk
serta kekuatan untuk raja-raja bertindak "berani kerana benar"
melindungi negara dan rakyat.
Bernama semalam melaporkan
raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan
berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap
pihak-pihak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, baginda sekalian
menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama sebenar
dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
Ia
berkata: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan,
dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan”.
Malaysiakini 07/10/15
No comments:
Post a Comment