Tuesday, October 6, 2015

Padah angkara kesilapan kecil


Padah angkara kesilapan kecil
Sarjan Penjara Abdul Wahid Majid berkata sesuatu kepada Othman (kiri) dan Zakri (kanan) pada Program Temuseru Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri Terengganu di Ajil, kelmarin.
 
AJIL - “Hanya sebab satu tandatangan di atas sekeping cek, saya disabit kesalahan pecah amanah dan meringkuk dalam penjara lebih tiga tahun, termasuk dikenakan sebatan. Kini saya bagai mati hidup semula,” kata Othman (bukan nama sebenar), 40, yang merupakan duda empat anak.

Othman merupakan bekas Orang Di Parol (ODP) dan kini mendapat peluang kedua setelah syarikat tempat dia bekerja dahulu masih beri peluang kepadanya untuk bekerja.

Berkongsi kisah, Othman berkata, kehidupannya berubah gara-gara kesilapan menandatangani sekeping cek bernilai RM162,000 hingga mengheretnya menjadi penghuni penjara, sekali gus hilang jawatan sebagai pengurus syarikat jualan langsung.

Menurutnya, tindakan tidak memasukkan wang itu ke akaun syarikat, sebaliknya ke akaun persendirian, mengundang padah setelah dia ditahan atas kesalahan pecah amanah, hasil laporan dibuat majikannya.

“Saya dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Kehidupan saya terus berubah. Saya bukan sahaja berdepan hukuman penjara dan tiga sebatan, rumah tangga juga hancur.

“Di sebalik semua itu, saya bersyukur kerana ketika dipenjarakan, saya berpeluang untuk berubah jadi insan lebih baik serta mendekati ALLAH SWT. Jiwa juga lebih tenang.
"Saya bagaikan mati hidup semula selepas dibebaskan beberapa bulan lalu. Saya berterima kasih kepada Jabatan Penjara kerana beri peluang selama enam bulan untuk menjalani hukuman secara sistem parol bermula akhir tahun lalu,” katanya.

Othman berkata demikian pada Program Temuseru Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri Terengganu di Dewan Sivik Ajil, di sini, kelmarin, yang disempurnakan Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Nik Azman Nik Abdul Razak.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara Yasuhimi Yusoff serta komuniti setempat, termasuk penghulu mukim serta JKKK.

Menurut Othman, kepercayaan Jabatan Penjara membolehkan dia bekerja di tempat sama semasa menjalani hukuman di bawah sistem parol dan masih mendapat peluang mencari rezeki di syarikat tersebut.

Sementara itu, seorang lagi ODP, Zakri (bukan nama sebenar), 30-an, berkata, dia bergelar penghuni penjara angkara mengugut adik perempuannya bagi mendapatkan RM150 dalam satu kejadian, sekitar awal tahun lalu.

Menurutnya, sikap panas barannya yang turut mengamuk, menyebabkan dia menghuni tirai besi selama 12 bulan dan masih dalam tempoh parol yang akan tamat tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment