Friday, October 9, 2015

Sanggup cekik leher ibu sendiri

Sanggup cekik leher ibu sendiri
Mohd bersama Ketua Pegawai AADK Marang, Wan Zulkifli Wan Ahmad (kanan).
MARANG – “Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna,”. Begitulah nasihat diberikan seorang bekas penagih dadah kepada remaja agar tidak tersalah langkah ketika mengharungi usia muda.

Dia hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 28, berkata, detik hitam dalam hidupnya bermula ketika dia berusia awal 20-an, apabila dia terjebak dengan dadah hasil pengaruh rakan sebaya dan juga pergaulan bebas dengan masyarakat luar.

“Saya mula ambil pil kuda lapan tahun lalu akibat pengaruh serta pergaulan dengan rakan-rakan. Ketika itu memang seronok, kawan segala-galanya sehingga saya lupa diri malah sanggup mencekik leher ibu sendiri gara-gara pil kuda.

“Namun keseronokan itu berakhir apabila saya ditangkap buat kali pertama pada 2011. Sebagai pengajaran ibu saya enggan menjamin saya keluar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Marang, di sini.

Bagaimanapun, Mohd akhirnya dibebaskan dengan jaminan, namun pengalaman sepanjang ditahan dilokap dijadikan sebagai iktibar untuk memulakan hidup baharu lebih bermakna.

Katanya, pengajaran itu juga menyebabkan jauh di sudut hatinya timbul kekesalan kerana sebelum ini kerap menyakiti hati ibunya malah sebagai anak dia mengakui tidak menjalankan tanggungjawab terhadap ibunya sebaik mungkin.

“Paling kesal saya pernah mencederakan ibu sendiri gara-gara pil kuda. Sebabnya, saya memerlukan RM60 sehari untuk mendapatkan bekalan pil kuda, jadi bermacam-macam cara saya buat untuk mendapatkan wang,” katanya.

Anak bongsu dari empat beradik itu memberitahu, tiada kata-kata dapat menjelaskan penyesalannya, namun bersyukur kerana dapat kembali dan berubah sepenuhnya setelah berjaya meninggalkan tabiat buruknya itu lebih tiga tahun lalu.  

“Tidak ada istilah terlambat untuk memulakan kehidupan baharu lebih bermakna dan secebis pengalaman ini saya kongsikan agar remaja di luar sana tidak tersalah langkah memilih jalan mereka, “ katanya yang kini menjadi pembimbing rakan sebaya.

No comments:

Post a Comment