Saturday, February 13, 2016

Masih pertimbang permohonan Dr Vida bina hotel

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
KOTA BHARU - Kerajaan negeri memaklumkan pihaknya belum ada keputusan permohonan pembinaan hotel enam bintang bernilai RM280 juta yang akan dibangunkan berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengakui pihaknya menerima kunjungan hormat dari Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang menyatakan hasrat untuk membina hotel.

“Kita akan pertimbangkan terlebih dahulu pembinaan hotel tersebut dan setakat ini, belum ada sebarang keputusan mengenainya.
“Kita akan melihat secara terperinci dari segi tanah, parkir, aliran trafik  dan kita bawa kepada Perbadanan Stadium dahulu kerana di sana terdapat ahli perbadanan yang teknikalnya terdiri daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MKPKB-BRI), Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Sukatan yang akan berbincang di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pembinaan Masjid dan Kutipan Derma Masjid Mukim Nilam Baru, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dr Vida mengakui beliau terpaksa menunggu ‘lampau hijau’ daripada kerajaan Kelantan terlebih dahulu bagi membangunkan sebuah hotel bertaraf enam bintang bernilai RM280 juta.

Dalam cadangan tersebut, pembinaan hotel 19 tingkat berkenaan bakal dilengkapi kemudahan sukan dan riadah, selain dilengkapi masjid bagi memudahkan orang ramai yang berkunjung ke hotel ataupun menyaksikan perlawanan di Kota Bharu.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, pihaknya perlu melihat beberapa sudut supaya pembinaan hotel itu biarlah tepat dan mampu menyelesaikan masalah.
“Kita akan lihat terutama stadium itu sendiri sudah berusia lebih 50 tahun, juga perlu melihat di sekitarnya ada hospital serta pembangunan yang kini dijalankan KelMedic dekat Hotel Perdana.
“Untuk buat semua itu (hotel), ia memerlukan ruang, sedangkan ruang agak tidak mencukupi dengan idea yang dicadangkan dia (Dr Vida),” katanya.

Kata beliau, pihaknya perlu melihat beberapa sudut supaya pembinaan tersebut memang tepat serta boleh menyelesaikan masalah.
“Sekiranya ia menambah masalah aliran trafik contohnya, juga mengganggu pembangunan di stadium, kita akan buat keputusan nanti,” katanya.
Sinar Harian

1 comment:

  1. Mencari cara untuk menambahkan pendapatan bulanan anda?Ini caranya,anda tidak perlukan MODAL,anda tidak perlu keluar rumah.Janji anda mempunyai internet dirumah sudah bagus...KLIK LINK DISINI http://YouthToEarn.com/?ref=200943

    ReplyDelete