Tuesday, May 24, 2016

AADK buka kertas siasatan, dakwa pusat pemulihan

pusat pemulihan
Laporan khas Sinar Harian 19 Mei lalu.
SHAH ALAM - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam proses membatalkan pendaftaran dan operasi sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di utara semenanjung, dalam masa terdekat.

AADK dalam satu kenyataan semalam berkata, agensi itu akan membuka satu kertas siasatan ke atas pusat tersebut bagi membolehkan pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 16 (4) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

“Memandangkan uusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) itu masih gagal mematuhi arahan pemberhentian operasi.
“Tindakan mendakwa pihak terbabit akan diambil sebaik sahaja proses membatalkan pewartaan PPDP itu selesai dibuat dalam masa terdekat ini,” kata kenyataan itu.

Laporan Sinar Harian pada 19 Mei lalu mendedahkan PPDP terbabit tidak memberikan layanan memuaskan kepada penghuni yang mendapatkan rawatan pemulihan bagi masalah ketagihan dadah.
Rumah pemulihan persendirian itu didakwa bukan sahaja melakukan penderaan fizikal dan mental ke atas pesakit semasa menjalani rawatan, bahkan dipaksa mengikut ajaran sesat yang dibawa pengasas rumah itu yang dipanggil ustaz, seperti berzikir sambil menari.

AADK juga memaklumkan, kes itu bukan baharu, kerana pihaknya menerima aduan pertama mengenainya pada 15 Januari 2015, di mana seorang pengadu mendakwa abangnya didera ketika menjalani rawatan di rumah terbabit.

“Satu lawatan mengejut telah dilakukan oleh AADK pada 20 Januari 2015, bagi tujuan pemantauan dan penyeliaan terhadap pusat itu.
“AADK turut menjalankan ujian saringan urin serta menemu ramah beberapa individu di PPDP tersebut berikutan aduan yang diterima,” kata kenyataan itu.

Berikutan aduan dan lawatan AADK, rumah pemulihan terbabit diarahkan menghentikan operasinya pada 6 Februari 2015, namun pengasasnya masih berdegil dan meneruskan operasi seperti biasa.
“Satu surat arahan memberhentikan pengoperasian PPDP tersebut telah dikeluarkan melalui emel bertarikh 6 Februari 2015 yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Suhaimi Abdullah, dan edaran telah dibuat kepada Pengarah AADK negeri bagi tindakan selanjutnya.

“Satu kertas siasatan telah dibuka oleh AADK negeri pada 19 Mac 2015 memandangkan rumah pemulihan itu berdegil dengan arahan pemberhentian operasi,” kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment