LANGKAWI - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan
Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menempelak Datuk Seri G. Palanivel kerana
tidak melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah penerokaan haram di
Cameron Highlands beberapa ketika dahulu.
Wan Junaidi berkata, Ahli Parlimen Cameron Highlands itu memegang
portfolio berkenaan (Sumber Asli dan Alam Sekitar) lebih lama berbanding
beliau sendiri.
Jadi Palanivel tidak sepatutnya membuat dakwaan yang tidak berasas terhadapnya (Wan Junaidi) berhubung kegiatan haram itu.
"Saya kecewa juga Palanivel (yang selama) dua tahun menjadi menteri.
Saya baru lapan bulan. Kenapa tak buat (sesuatu semasa masih menjadi
menteri).
Sekarang baru pandai-pandai nak bercakap," kata Wan Junaidi kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas kenyataan Palanivel pada Jumaat lepas yang mendakwa
penerokaan haram di Cameron Highlands sukar diatasi kerana kegiatan itu
didalangi oleh ‘individu atau kumpulan berpengaruh’.
"Kalau dia (Palanivel) ada maklumat yang terperinci tentang orang-orang
yang berkenaan (dengan dakwaan mendalangi penerokaan haram itu) hantar
surat, beritahu saya," kata Wan Junaidi.
Menteri itu berkata pindaan kepada Kanun Tanah Negara adalah di antara
tiga rang undang-undang yang telahpun diluluskan oleh Dewan Rakyat
dengan peruntukan denda sehingga RM500,000 terhadap pesalah yang
meneroka tanah secara haram.
Katanya, pembentangan rang undang-undang itu juga merupakan usaha
kementeriannya untuk membendung kegiatan penerokaan haram itu seperti
berlaku di Cameron Highlands.
Menurutnya usaha-usaha penguatkuasaan juga turut dipertingkatkan lagi
bagi menghalang mana-mana pihak yang cuba memasuki kawasan yang telah
diceroboh di kawasan tanah tinggi itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment