Kajian MARDI menunjukkan 28.4% daripada jumlah padi yang dihasilkan juga hilang begitu saja.
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia membazirkan sebanyak 15,000 tan metrik
makanan sehari termasuk 3,000 tan yang masih boleh dinikmati dan tidak
sepatutnya dibuang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh Gumbek
berkata pembaziran makanan semakin meningkat pada musim perayaan dan
dilihat sebagai satu tabiat yang seharusnya dikekang bagi memastikan
amalan membazir tidak berterusan.
“Kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
menunjukkan 28.4% daripada jumlah padi yang dihasilkan juga hilang
begitu saja.
“Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran pula, 20 hingga 50% dibuang dan
tidak sampai kepada pengguna,” katanya selepas merasmikan Forum
‘MySaveFood’ di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan melalui MARDI sedang menjalankan beberapa
program di seluruh negara bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada
orang ramai mengenai kesan pembaziran makanan kepada rakyat dan negara.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Perusahaan Kanan Pertubuhan
Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dr Rosa
Rolle berkata ‘Food Loss and Waste (FLW) Standard’ akan dilancarkan
bulan depan bagi menangani cabaran kuantiti kehilangan dan pembaziran
makanan.
Beliau berkata standard tersebut akan membolehkan pelbagai entiti,
negara dan rantau lain untuk mengambil kira dan melaporkan dengan
praktikal, boleh dipercayai dan cara yang konsisten di peringkat
antarabangsa mengenai jumlah pembuangan dan pembaziran makanan serta
mengenal pasti di mana ia berlaku seterusnya membolehkan usaha untuk
sasaran mengurangkannya.
Rolle berkata pembangunan standard itu dikoordinasi World Resources
Institute (WRI) bersama beberapa rakan kongsi seperti Consumer Goods
Forum (CGF) dan World Business Council for Sustainable Development
(WBCSD).
“Di peringkat global, kira-kira 1.3 bilion tan metrik makanan dibuang
atau dibazirkan setiap tahun yang bernilai RM4.4 trilion,” katanya.
Forum MySaveFood anjuran FAO bersama MARDI yang dihadiri 100 peserta
daripada agensi kerajaan dan swasta itu diadakan bagi mewujudkan
kesedaran mengenai kitaran hayat makanan untuk mengurangkan pembaziran
makanan dan sisa makanan.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment