Tuesday, May 31, 2016

‘Saya mahu bersemuka dengan dia’, kata TMJ

Sinar Harian
 TMJ
JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia maklum berhubung isu penghinaan ke atasnya dan tindakan yang telah diambil polis.
Malah pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga mengetahui media sosial yang cuba membesar-besarkan cerita tersebut bagi menghangatkan lagi suasana.

Tunku Ismail bagaimanapun mengakui, beliau tidak peduli apa sahaja yang diperkatakan mengenai dirinya kerana beliau amat bersyukur dengan apa yang ALLAH SWT berikan ke atasnya.

“Saya tiada masa melayan orang-orang seperti ini.
“Kadang-kadang ada antara ‘pages’ di dalam sosial media diupah oleh sesetengah organisasi yang mempunyai kuasa melaga-lagakan rakyat bagi mengalihkan perhatian isu lebih besar dalam negara, kerana ini membolehkan orang-orang dan organisasi tertentu melaksanakan misi mereka tanpa disedari, manakala rakyat masih sibuk dengan hal lain,” katanya dipetik dalam temu ramah eksklusif menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, rakyat harus pandai menilai, dan beliau rasa bertuah dengan kedudukannya iaitu dapat melihat dan mendengar dengan mata serta telinganya mengenai apa yang dirancang oleh orang-orang besar dan organisasi yang tidak akan dapat diketahui rakyat.

“Sebagai contoh, saya pernah mempersoalkan kepada seseorang individu, kenapa kita tidak boleh meningkatkan lagi taraf pelajaran, beliau menyatakan kepada saya kerana ada dua fakta. Fakta pertama adalah untuk mendapatkan undi dan yang kedua, lebih mudah mengawal pemikiran orang yang bodoh dan tanpa berpelajaran.
“Itulah sebabnya, saya lebih memberi keutamaan kepada rakyat Johor dalam hal-hal pelajaran kerana saya tidak mahu rakyat saya mudah dipermainkan oleh sistem yang memutarbelitkan perkara sebenar, serta mengalih perhatian isu besar daripada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dengan rendah diri turut mencadangkan kepada polis agar tidak menangkap mana-mana individu yang telah membuat sebarang kenyataan menghina terhadap dirinya.

“Saya lebih suka jika pihak berkuasa dapat menganjurkan pertemuan antara saya dan individu tersebut, dan memberikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan, bersemuka antara mereka dan saya sahaja.
“Saya akan menghargainya jika anda bersetuju dengan cadangan ikhlas saya ini,” katanya.

Dalam temu ramah sama, Tunku Ismail turut memberitahu, pencapaian telah diraih dalam hidupnya dan selepas melakukan transformasi bola sepak negeri ini.
“Saya berjaya meningkatkan RM30 juta wang kelab kepada RM120 juta dalam masa satu tahun sementara yang lain kehilangan wang mereka. Saya berjaya membantu kelab dapat enam piala daripada tiada piala dalam masa tiga tahun. Saya berjaya mengubah sebuah kelab menjadi sebuah empayar.

“Saya berjaya letakkan nama negeri saya di mata dunia, sementara mereka yang lain hanya memberi janji palsu kepada penyokong mereka semata-mata ingin mendapat sokongan dan undi. Saya berjaya ubah satu nama kepada sebuah jenama.

“Saya berjaya mengubah pemain profesional menjadi pemain ‘superstar’. Saya berjaya mengubah individu dalam industri bola sepak jadi jutawan. Saya memenangi piala pertama saya ketika bermain polo sewaktu saya berumur 11 tahun,” katanya.
Selain itu, Tunku Ismail memberitahu, beliau satu-satunya pemain polo di dalam negara dan pemain asing yang memenangi Kejohanan Terbuka Metropolitan (gol terbanyak 24) di Argentina untuk dua tahun berturut-turut.

“Saya satu-satunya kerabat diraja yang menerima latihan ‘Special Forces’ dan ‘Airbone’. Saya hanya satu-satunya warga asing yang mengetuai perbarisan semasa hari kemerdekaan iaitu salah satu askar terkuat di dunia yang dikenali sebagai kuasa nuklear iaitu India.

“Nama saya dinyanyikan ribuan orang apabila saya memasuki stadium. Saya adalah seorang insan yang ‘real’ manakala sesetengah mereka (anak orang kenamaan) di KL cuba berlagak ‘gangster’.

“Saya disayangi oleh rakyat saya, dihormati di negeri-negeri dan negara lain, ditakuti oleh orang yang mementingkan diri sendiri demi kuasa, dan billionair berusia 31 tahun yang paling dibenci oleh mereka yang mempunyai penyakit mental,” katanya.
Dengan bersahaja Tunku Mahkota Johor turut bertanya adalah kebenaran (apa yang dinyatakan) menyakitkan?
“Teruskan membenci,” katanya.

No comments:

Post a Comment