Gaji yang diperolehi harus dipulangkan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang agama ataupun pendidikan.
PETALING JAYA: Wakil rakyat pemerintah dan pembangkang bersetuju
bahawa gaji, elaun dan peruntukan kawasan yang diperolehi mereka adalah
kesan daripada kepercayaan yang diberikan rakyat.
Akhirnya, ia perlu dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk khidmat dan bantuan.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan ADUN Meru, Dr Abdul
Rani Osman menganggap pengisytiharaan oleh Ahli Parlimen Langkawi,
Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu
Bakar bahawa wakil rakyat dibayar oleh kerajaan bukannya rakyat sebagai
pertikaian yang sia-sia.
Prinsipnya, menurut Bung Moktar, mereka dipilih oleh rakyat yang mahu mereka berkhidmat untuk rakyat.
“Kita tidak seharusnya keliru dalam soal begini,” tegas Bung Moktar
ketika dihubungi FMT, “Kita datang dari rakyat maka kita harus kembali
kepada rakyat.”
“Soal elaun atau gaji samada dibayar oleh rakyat atau kerajaan itu bukan isu yang perlu didebat.”
Sementara itu di Sungai Besar, Rani menegaskan gaji yang diterimanya
setiap bulan dan peruntukan untuk kawasannya merupakan pemberian
daripada rakyat untuk tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
Prinsipnya, menurut Rani, gaji dan peruntukan mereka berdiri atas idea berkhidmat untuk rakyat.
“Kita semua dapat gaji daripada rakyat kita pulangkan semua hak balik
kepada rakyat. Sebab itu saya beritahu apabila saya dapat peruntukan di
Meru sebanyak RM700,000 itu bukan duit daripada saya atau Menteri
Besar,” kata calon PAS untuk PRK Sungai Besar itu.
Rani percaya jika wang itu dianggap daripada kerajaan dan tidak
digunakan untuk membantu rakyat, beliau bimbang akan ditanya di akhirat
kelak.
“Ini hak mereka, sebab kalau saya tidak lakukan ini, saya akan ditanya esok di akhirat,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment