Wednesday, June 8, 2016

Kami akan bantu kempen penentang Najib – GKCM

 FMT| June 8, 2016
Sebagus mana pun calon BN, pemimpin itu tidak ke mana kerana kebaikan mereka tidak akan mengatasi kejahatan atau keburukan perdana menteri.
Rushdan-Mohamed
PETALING JAYA: Gabungan Ketua Cawangan UMNO Malaysia (GKCM) akan turun berkempen dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan memberi sokongan kepada parti AMANAH.

Naib Presiden GKCM Rushdan Mohamed berkata kumpulan UMNO pro Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamed membantu calon AMANAH kerana parti itu turut sama menentang Datuk Seri Najib Razak selaras dengan gerakan itu mendesak perdana menteri berundur.

“GKCM sudah ke kedua-dua lokasi PRK. GKCM akan berkempen untuk parti yang menentang Najib iaitu AMANAH.
“Saya yakin rakyat juga menyokong apa yang GKCM buat iaitu supaya mereka memberi undi kepada parti yang melawan Najib (BN),” katanya kepada FMT.

Rushdan yang juga ketua UMNO Cawangan Rista Villa Perdana berkata walaupun calon yang mewakili BN dalam PRK tersebut mempunyai rekod yang baik ia tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kejahatan yang dilakukan Najib.
“Sebagus mana calon dihantar BN Najib, pemimpin tersebut tidak akan ke mana kerana kebaikan mereka tidak akan mengatasi kejahatan atau keburukan yang dilakukan tuan (presiden UMNO) mereka,” katanya.

Kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar diisytiharkan kosong selepas kedua-dua penyandangnya meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini ialah allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad manakala Sungai Besar allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon.

No comments:

Post a Comment