Rafizi mempersoalkan adakah segala keresahan yang ditimbulkan sebelum ini hanya satu kepura-puraan.
PETALING JAYA: Keputusan dua PRK semalam memberi isyarat pengundi di
Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak kisah dengan pelbagai kepayahan
ditanggung rakyat selama ini yang berpunca daripada pelbagai dasar
dilaksanakan kerajaan BN.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia termasuk pelaksanaan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup dan
skandal 1MDB.
“Maksudnya segala keributan dan keresahan yang disuarakan selama ini
(baik yang menulis secara terus, baik yang menzahirkan kemarahan itu di
media sosial dan lain-lain) hanya satu kepura-puraan?
“Maksudnya rakyat tidak kisah sebenarnya dengan kepayahan hidup yang disebabkan GST?
“Mereka tidak rasa marah dengan skandal wang yang menyebabkan
peruntukan rakyat dipotong dan menambahkan beban mereka?” soalnya
menerusi Facebook miliknya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berpendapat, pengundi masih
terpengaruh dengan dua senjata utama Umno dan BN sejak berdekad lalu,
iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan kebendaan.
Dari segi sentimen perkauman atau keagamaan, beliau mendakwa ramai
pengundi ‘pasrah’ dengan masalah rasuah dan penyelewengan kerana bagi
mereka, memerangi Cina DAP dan sekutu mereka iaitu PKR dan Amanah lebih
penting daripada membantu diri mereka sendiri.
Manakala dari segi kebendaan, faktor projek yang dijanjikan dan wang
yang diagihkan semasa berkempen oleh Umno dan BN tetap berkesan untuk
meraih undi rakyat tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Iban atau
Kadazan.
“Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan
penyakit kebendaan ini tidak mengenal kaum, agama, tempat atau masa,”
katanya.
PRK Sungai Besar semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti 9,191
undi, selepas meraih 18,600 undi, diikuti Amanah (7,609 undi) dan PAS
(6,902 undi).
Manakala Kuala Kangsar pula menyaksikan BN mendapat majoriti 6,969
undi, setelah BN meraih 12,653 undi, PAS (5,684 undi), Amanah (4,883
undi) dan calon Bebas (54 undi).
Mengulas pandangan Pakatan Harapan mempelawa PAS kembali ke meja
rundingan dengan blok pembangkang, Rafizi berkata, ia telah dibincangkan
dengan wakil pimpinan PAS sejak awal lagi.
“Dijemput untuk menyertai Pakatan Harapan malah dirunding sehingga ke
peringkat akhir untuk satu lawan satu dalam kedua-dua pilihan raya
kecil.
“Keputusan sama ada PAS masih mahu terus menjadi blok ketiga itu di
luar kawalan Pakatan Harapan kerana ia keputusan PAS,” tegasnya
No comments:
Post a Comment