Saturday, June 18, 2016

Kemunculan Mahathir beri kesan besar di dua PRK

17/6/16
Menjelang saat-aat akhir fasa kempen pilihan raya yang akan berakhir jam 12 tengah malam ini, kajian firma penyelidikan bebas ILHAM Centre terhadap dua kawasan Pilihan Raya Kecil P067 Kuala Kangsar dan P093 Sungai Besar menunjukkan dinamika perkembangan pola undian yang dramatik.

Kajian kali ini sebenarnya kajian paling sukar untuk dianalisa oleh pihak kami sepanjang kami terlibat dalam siri kajian pilihan raya di Malaysia. Ini kerana pertembungan tiga penjuru, perpecahan undi pembangkang, undi protes senyap UMNO dan PAS dan rebutan undi Melayu menjadi pokok persoalan penting dalam kajian ini.

Perubahan pola kesan daripada kempen agresif oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit sebanyak menggoncang titik kekuatan UMNO di kawasan pedalaman yang mempunyai nilai sentimental dengan negarawan itu mengheret kami membuat analisa sehingga saat akhir tempoh pengundian.

Ketika fasa awal kajian sebelum penamaan calon, kami mendapati BN selesa di hadapan manakala PAS mengekori rapat di dua-dua kawasan ini dan AMANAH hampir tidak dikenali oleh majoriti pengundi.
Ketika kami meninjau pergerakan kempen selepas penamaan calon, prestasi AMANAH dilihat berkembang dengan mendadak. Kehadiran Menteri Besar Selangor memberikan sokongan kepada calon AMANAH telah melenyapkan teka-teki pendirian beliau yang dilihat seolah-olah tidak mahu memihak kepada AMANAH mahupun PAS.

Kemuncak gegaran kempen di pihak Pakatan Harapan yang diwakili AMANAH apabila Mahathir bersedia untuk turun berkempen. Kehadiran beliau di Sungai Besar dan Kuala Kangsar merubah trend politik tradisi pengundi tegar BN.

Bagaimanapun kajian kami menunjukkan AMANAH masih bergelut untuk mengatasi kubu tradisi Barisan Nasional di Sungai Besar dan Kuala Kangsar terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

Kajian ini dilakukan serentak di dua kawasan pilihanraya melibatkan 420 responden di Sungai Besar dan 402 responden di Kuala Kangsar. Kajian akhir dilakukan bermula 11 hingga 16 Jun 2016. Laporan kajian disiapkan pada 17 Jun 2016.

Faktor Mahathir signifikan di dua kawasan
Dapatan kajian mendapati sebanyak 73 peratus di Sungai Besar dan 81 peratus di Kuala Kangsar bersetuju bahawa gerakan Mahathir mampu mengubah sokongan pengundi kepada BN.
Kuala Kangsar mencatatkan penerimaan positif pengundi UMNO terhadap kempen Mahathir kerana digerakkan seara intensif oleh Dato' Hamidah Osman dan Dato' Kamilia Ibrahim untuk meningkatkan undi protes kepada BN.

Ini ditambah lagi dengan protes senyap di kalangan pemimpin UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang kecewa dengan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon.
Manakala di Kuala Kangsar, penerimaan kempen  Mahathir agak sederhana ekoran kesukaran untuk menembusi kubu kuat BN di DUN Sungai Panjang.

 Limitasi kadar penetrasi kawasan Daerah Mengundi Melayu terutama kawasan tegar UMNO membezakan penerimaan kempen  Mahathir berbanding Kuala Kangsar.

Namun begitu, persamaan juga wujud dari aspek suara-suara ketidakpuasan hati beberapa kumpulan di dalam UMNO Bahagian Sungai Besar yang mempertikaikan pemilihan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN. Namun, kesemua elemen ini kami kategorikan elemen luar kawal dan ramal dan untuk dibuat tafsiran sejauhmana memberikan kesan kepada undi Barian Nasional.

Kesan tiga hari kempen Mahahir diterima baik khususnya di semua lokaliti Daerah Mengundi Melayu yang menjadi kubu kuat UMNO masih belum dapat dibaca sama ada akan berlaku protes senyap terhadap BN dalam bentuk mengundi calon pembangkang, merosakkan undi ataupun tidak keluar mengundi. Kesemua senario berikut berpotensi merugikan BN.
Tambahan lagi, semua pihak yang anti Barisan Nasional kelihatan berdiri di belakang AMANAH menjadikan AMANAH menerima sokongan mendadak di saat-saat akhir kempen.

Pengundi pilih AMANAH sebagai saingan BN
Pola yang menarik ditemui ialah bacaan pengundi Melayu terhadap pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya ini sebagai unjuran pola dalam PRU akan datang.
Data memperlihatkan bahawa pengundi Cina dan atas pagar memilih Parti Amanah Negara yang mewakili Pakatan Harapan sebagai parti yang akan memberi saingan sengit mncabar status quo penguasaan BN. 

Kelompok ni menyifatkan undi terhadap PAS dan juga Calon Bebas sebagai merugikan undi mereka.
Ekoran itu, PAS berada dalam situasi yang paling getir. PAS mempunyai kelebihan kepada jenama lama dan undi asas dikalangan ahli yang tegar dan mengakar di kawasan lokaliti Daerah Mengundi Melayu. Namun, pendirian politik mutakhir PAS dalam pilihan raya kecil ini kami dapati berlaku hakisan sokongan di kalangan ahli dan penyokong PAS dan bermasalah untuk menambat hati pengundi di atas pagar. Undi bukan Melayu khususnya pengundi Cina untuk PAS boleh dikatakan hampir mustahil dicapai.

Manakala bagi psikologi pengundi Melayu, AMANAH masih disifatkan parti baru yang belum dikenali. AMANAH masih gagal menambat hati pengundi tegar Melayu di kalangan penyokong UMNO dan PAS di kawasan lokaliti yang berada di pedalaman kawasan mengundi.

Calon BN Sungai Besar ungguli lawan
Dari aspek keupayaan dan kekuatan calon pula, calon BN, Budiman di Sungai Besar lebih ke hadapan berbanding dua calon lawan. Budiman memanfaatkan populariti di DUN Sungai Panjang yang dikuasainya hanya perlu melebarkan kekuatan di Sekinchan untuk memastikan kemenangan memihak kepada beliau.
Bagi pihak lawan BN, pada awalnya kelihatan Calon PAS mempunyai kelebihan berbanding AMANAH. Namun sepanjang kempen berlangsung, Dr Rani kelihatan berseorangan tanpa dibantu oleh penyusunan terancang jentera PAS di sini. Kelihatan PAS tidak bersungguh-sungguh dalam pilihan raya kecil kali bagi kawasan ini berbanding di Kuala Kangsar.
Azhar Shukur pula amat bergantung kepada jentera DAP bagi memastikan undi siling diperolehi dari pengundi Cina di Sekinchan dan agak terhad pergerakan beliau dalam meraih undi di DUN Sungai Panjang.

Di Kuala Kangsar pula, Calon AMANAH merupakan calon paling menonjol dan mempunyai faktor 'wow' kepada pengundi yang ditemui. Latarbelakang anak tempatan Kampung Suak Petai Manong, keluarga yang besar di sana dan disokong dengan kelayakan akademik yang luar biasa bagi pengundi memberi kekuatan hampir 5 peratus atas faktor peribadi calon.

Calon BN, Mastura yang berada dalam tempoh iddah sebenarnya menghilangkan keterujaan kepada jentera BN untuk mempromosikan calon mereka pada tahp maksima.
Imej menerusi poster dan gambar calon agak suram dan kusam tenggelam dengan calon lawan beliau.
Calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad pula disifatkan sebagai calon kurang popular disebabkan bukan anak tempatan dan ini memberikan limitasi kepada jentera PAS untuk memperkenalkan calon secara agresif.

Liputan isu nasional terhad di kawasan Melayu
Dua kawasan pilihan raya ini memperlihatkan isu apakah yang boleh menarik minat sepanjang kempen berlangsung. Berdasarkan dapatan lapangan, kami dapat rumuskan bahawa pengundi di lokaliti mengundi majoriti Melayu tidak terkesan dengan isu bersifat nasional seperti GST, skandal 1MDB daln lainnya.

Sebaliknya isu yang melingkari kehidupan seharian mereka sebagai contoh, kawasan Parit 1 hingga parit 16, Belia 2, Sungai Nibong, Parit 13 Sungai Nipah, Sungai Haji Dorani, Sungai Leman, Sungai Limau antara majoriti pengundi Melayu di parlimen Sungai Besar yang meletakkan isu tempatan seperti hasil tanaman padi, masalah tangkapan nelayan, kenaikan kos sara hidup lebih menarik minat mereka.

Begitu juga di kawasan Kampung Semat, Ketior, Ulu Piol, Bendang Kering, Kampung Mesjid di parlimen Kuala Kangsar juga mengesahkan dapatan sepertimana di Sungai Besar.

Menariknya di Kuala Kangsar, dengan kehadiran Rafizi Ramli yang membantu jentera AMANAH di Kuala Kangsar memnbuat siri-siri pendedahan isu nasional merancakkan lagi kempen di kawasan tersebut.

Di kalangan parti bertanding, perang bendera dan poster diterajui oleh BN. Jentera BN banyak menumpukan kepada ceramah kecil-kecilan, walkabout di bazar Ramadhan dan majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat.

Kempen PAS agak agresif di Sungai Kangsar dan sebaliknya berlaku kepada jentera PAS di Sungai Besar. PAS memperlihatkan kekuatan jentera mereka namun bermasalah dari aspek mesej yang disampaikan kepada pengundi.
Kempen PAS terpinggir kerana membawa isu yang jauh untuk memenangi hati majoriti pengundi walaupun jentera kelihatan kuat. Pengundi gagal memahami mesej kempen PAS selain tema-tema lama PAS sepanjang tempoh kempen berlangsung.

PAS, AMANAH berebut tempat kedua 
Melihat perkembangan yang seakan memihak kepada BN walaupun terdapat elemen protes senyap yang sukar diramal oleh BN, tempat kedua menjadi rebutan sengit antara PAS dan AMANAH.
PAS mempunyai kelebihan jenama lama dan undi asas yang tegar dan mengakar di kawasan Melayu manakala AMANAH mempunyai kelebihan undi Cina dan pengundi anti BN memberikan keseimbangan undi antara keduanya.

Oleh itu, lonjakan undi penentu adalah di kalangan pengundi Melayu yang tegar UMNO dan pengundi atas pagar Melayu. 

Sejauh manakah antara keduanya dapat meyakini pendirian politik pengundi sehingga berani menterjemahkan pada kertas undi esok hari menjadi penentu kepada kedudukan dua parti ini.

Merujuk kepada graf di bawah, BN di Kuala Kangsar mendahului sebanyak 37 peratus diikuti oleh AMANAH oleh sebanyak 24 peratus, PAS pula 12 peratus dan "tidak tahu" sebanyak 27 peratus.
Sungai Besar pula BN selesa dengan 41 peratus, AMANAH 19 peratus, PAS sebanyak 16 peratus dan "tidak tahu" sebanyak 24 peratus.

Undi protes sukar diukur
Dapatan kajian juga mendapati wujudnya faktor undi boleh dibaca sebagai protes senyap di kedua-dua kawasan pilihan raya. Elemen ini dikesan di kalangan mereka yang pernah mengundi BN dan mahupun PAS dalam PRU-13 yang lalu. Ini berdasarkan dapatan kami merujuk kepada parti mana yang menjadi pilihan, responden yang menjawab "tidak tahu" di Kuala Kangsar sebanyak 27 peratus dan di Sungai Besar sebanyak 24 peratus.

Dapatan ini sebenarnya menunjukkan jumlah kumpulan ini meningkat selepas beberapa siri penerangan yang digerakkan oleh Mahathir di Daerah Mengundi yang menjadi kubu kuat UMNO. Namun persoalannya, adakah kelompok ini mampu membuat keputusan yang boleh mengecewakan BN.

Kewujudan elemen protes ini begitu kuat di Kuala Kangsar ekoran pemilihan balu kepada bekas Ahli Parlimen yang lalu sebagai calon. Mastura Mohd Yazid tidak memegang jawatan utama dalam UMNO Bahagian Kuala Kangsar dipilih dengan mengenepikan pilihan orang parti di peringkat bahagian itu. Di Sungai Besar, wujud rekahan sokongan apabila sebahagian penyokong UMNO yang menyokong Cikgu Muslimin Yahya sebagai alon di sini.

Kumpulan ini juga merupakan pengundi yang pernah mengundi PAS tetapi keliru dengan dengan pendirian politik PAS terkini dan polemik dalaman PAS sebelum ini sehingga tertubuhnya parti serpihan PAS iaitu AMANAH.

Rumusan kajian
Keputusan pilihan raya kecil ini sebenarnya amat signifikan dan bermakna buat politik pembangkang. AMANAH memikul tanggungjawab untuk menguji populariti Pakatan Harapan dan mempunyai keupayaan mengambil alih peranan PAS dahulu.
Manakala PAS pula buktikan bahawa kemuncuan AMANAH tidak memberi sebarang kesan kepada pengaruh parti itu.

Bagi BN, kemenangan hampir pasti milik mereka. Jentera selesa di Sungai Besar tatapi agak struggle di Kuala Kangsar ekoran calon mereka tidak turun berkempen.

Keputusan upset boleh berlaku saat-saat akhir sekitranya jentera BN gagal menangani elemen protes senyap dalaman parti UMNO. Malapetaka kepada BN ini disumbangkan oleh undi protes dalaman UMNO tinggi, undi bukan Melayu padu kepada AMANAH, undi kelompok anti BN dan undi fence sitter beralih mengundi pembangkang.

AMANAH dan Pakatan Harapan yang agresif menyerang BN dalam aspek isu nasional hanya memangkin kenyakinan yang celik politik, berada di bandar dan separa bandar tetapi gagal menawan pengundi di kawasan kampung-kampung tradisi, jauh dari bandar.

Jika berlaku kejutan di Kuala Kangsar, boleh dianggap berpunca daripada pemilihan calon yang salah dan AMANAH meletakkan calon yang tepat. Calon PAS dan strategi PAS hanyalah untuk mengekalkan sokongan pengundi mereka daripada beralih sokongan kepada AMANAH semata-mata. Tidak lebih daripada itu.

Keputusan pertembungan tiga penjuru juga ini juga memperlihatkan persaingan tangga kedua yang signifikan dan amat bermakna bagi parti pembangkang. Jika undi AMANAH mengatasi undi PAS, ini memberikan kemenangan moral buat Pakatan Harapan berdepan dengan BN dalam pilihan raya akan datang. PAS pula perlu melihat dan menilai kembali strategi dan pendirian politik mereka jika undi mereka lebih rendah daripada AMANAH dan BN.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment