Monday, June 13, 2016

Mahu BN tewas sehingga hilang wang pertaruhan

Tun Mahathir Mohamed
KUALA KANGSAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pengundi di sini memastikan BN bukan sahaja tewas tetapi hilang wang pertaruhan.

Katanya, biarpun Pilihan Raya Kecil (PRK) ini tidak boleh menukar kerajaan tetapi ia mampu memberi mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa rakyat menolak kepimpinannya.
"Dalam PRK ini amat penting untuk kita kalahkan BN. Bukan sahaja tumpaskan tetapi seboleh-bolehnya, kita bagi dia (BN) hilang wang pertaruhannya.

"Jadikan ia sebagai mesej buat Najib bahawa rakyat sekarang ini tidak mahu bersama Najib.
"PRK ini walaupun tidak boleh tukar kerajaan, tetapi dia boleh menjelaskan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia menolak Najib. Menolak seorang yang sudah banyak melakukan kesalahan," katanya dalam ucaptama forum 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Derma Najib di sebuah restoran di sini, hari ini.

Katanya, rakyat faham dengan apa yang berlaku terutamanya melibatkan skandal 1MDB dan ia akan menjadi sebab BN bakal di tolak dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, perdana menteri keempat itu turut menyeru pengundi di Kuala Kangsar supaya memberikan sokongan kepada calon Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Ahmad Termizi Ramli.
"Saya rayu sokongan diberikan kepada calon. Beliau berkelayakan untuk mewakili Kuala Kangsar.
Beri kemenangan kepada dia supaya kita dapat buktikan Najib sudah tidak dikehendaki oleh rakyat," katanya.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Termizi turun menurunkan tandatangan pada Deklarasi Rakyat bagi menyatakan sokongan supaya Najib disingkirkan selaku perdana menteri.

No comments:

Post a Comment