MCA membidas DAP yang didakwanya "memukau" masyarakat Cina supaya
menyokong Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dituduh sebagai parti PAS
yang berbaju jingga.
"AMANAH bukannya apa-apa tetapi adalah PAS, parti politik yang
berbaju jingga, perbezaan hanya di luar, namun sama pada bahagian dalam.
"Dari atas ke bawah, pengurusan dan akar umbi AMANAH berasal daripada
PAS, mereka telah lama dipengaruhi oleh PAS dan mempunyai pemikiran
sama," kata Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen dalam satu
kenyataan hari ini.
Hujahnya, walaupun baju jingga AMANAH mungkin kelihatan cantik dan
baru, dan modus operandi semasanya berbeza dengan PAS, namun kedua-dua
parti itu masih sama di bahagian dalam.
Chai berkata DAP tidak sabar-sabar untuk menjenamakan AMANAH sebagai
parti baru dan berbeza daripada PAS selepas menyedari kesilapannya dalam
mempromosikan parti Islam itu kepada masyarakat Cina.
Beliau berkata sebaik sahaja hubungan DAP dengan PAS menjadi keruh,
DAP cepat menjauhkan diri dan menggunakan AMANAH untuk menutup
kelemahannya.
Bagaimanapun, beliau berkata, AMANAH, sebagai parti baru yang
memerlukan sokongan bukan Islam bersembunyi di sebalik agenda
konservatif dan menggunakan DAP untuk menutup imejnya.
Beliau berkata AMANAH akhirnya akan menanggalkan baju jingga itu dan mendedahkan nilai PAS yang tersirat di sebaliknya.
"DAP sedar tentang perkara ini tetapi membenarkan dirinya untuk
digunakan oleh AMANAH demi memancing undi dan juga membantu memukau
masyarakat Cina supaya mempercayai parti itu," katanya.
Chai berkata, tindakan DAP itu lebih memalukan apabila bekerjasama
dengan PAS dalam kerajaan negeri Selangor tetapi pada masa yang sama
menyokong AMANAH.
Beliau berkata ini membuktikan DAP tidak ikhlas terhadap masyarakat Cina, dan hanya mahu berpaut pada kuasa.
"Akhirnya, masa depan negara akan tergadai berikutan pemusnahan
Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan pelbagai bangsanya,” katanya
No comments:
Post a Comment