Tuesday, June 14, 2016

Najib, PAS saling memerlukan tetapi… : Kadir

FMT | June 13, 2016
Pertembungan ulama dan bukan ulama akan meleraikan kerjasama, sepertimana terlerainya PAS dan kumpulan yang membentuk AMANAH
kadir-najib-pas
SUNGAI BESAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan PAS saling memerlukan bagi mengatasi kekurangan masing-masing.

Wartawan veteran, Datuk Kadir Jasin berkata Najib memerlukan PAS sebagai sekutu, manakala PAS memerlukan Najib untuk kekal relevan di luar Kelantan.
“Individu yang memerlukan kawan ketika ini adalah Najib. Parti yang memerlukan kerjasama adalah PAS.
“PAS telah sedar bahawa jika tidak bekerjasama mereka hanya mampu memerintah Kelantan, tetapi apabila bekerjasama mereka boleh memerintah mana-mana negeri lain.

“Mereka sedar kepentingan untuk bekerjasama. Jika bersendiri, mereka tidak boleh lakukan itu. Jadi, antara Najib memerlukan kawan dan PAS memerlukan kerjasama, jadi hubungan semula jadi itu memang wujud,” jelasnya kepada pemberita di Pejabat AMANAH Sungai Besar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama antara parti Melayu dan parti Islam itu dan bagaimana kerjasama itu akan dimainkan untuk kedua parti.

Kadir Jasin meramalkan kerjasama antara UMNO dan PAS bagaimanapun tidak akan dapat bertahan lantaran pertembungan kutub pemikiran yang sangat berbeza.
“Ada pemikiran ulama, dan ada pemikiran bukan ulama,” kata wartawan veteran itu, “Jika mereka boleh menolak ahli sendiri yang kini dalam AMANAH, bagaimana mereka akan terima UMNO?”
“Ini hanya untuk kesenangan sementara.”

Beliau menambah akar umbi di kedua parti tidak menyenangi kerjasama kekal antara kedua parti.
“Sekiranya mereka bekerjasama, siapa yang akan ubah siapa? Apakah PAS akan ubah UMNO jadi lebih baik atau UMNO akan merosakkan PAS? Pilihan di tangan mereka.”

No comments:

Post a Comment