Wednesday, June 15, 2016

Nik Abduh: Mereka gila talak

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
SHAH ALAM - Jika ada yang berkata Pas sedang bercinta dengan Umno, itulah si tua gila talak yang asyik cemburukan bini lama yang semakin dipandang-pandang anak muda, demikian bidas Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Aziz Nik Abdul Aziz.

Kata Nik Abduh, Pas bukannya sedang ‘hangat bercinta’ dengan Umno seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihaknya, sebaliknya Pas sedang berjuang untuk menawarkan sebuah kerajaan yang lebih berakhlak pemimpinnya.

“Penyelesaian masalah negara hari ini bukanlah dengan terus menyedut poket rakyat melalui GST (cukai Barang dan Perkhidmatan) atau menjemput TPP (Perjanjian Perkongsian Trans - Pasifik) berpencak tari dengan sang petani dan rakyat yang tengah tercungap-cungap kelelahan membanting tulang.

"Ia bukan sekadar menjamu manisan BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia) selepas menarik kemudahan subsidi kepada rakyat. Bukan itu penyelesaian cadangan Pas.

“Tiada kezaliman, salah guna kuasa, korupsi, rasuah, pembaziran, salah laku dan segala kalimah dan makna yang membawa kerosakan dalam kehidupan rakyat. Tiada galang ganti bagi sebuah perjuangan suci selain janji sebuah kerajaan yang berteraskan keadilan dan kesejahteraan yang menjadikan al-Quran sebagai sumber yang menyuburkan kehidupan manusia,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan matlamat perjuangan Pas adalah meyakinkan rakyat dengan solusi dan penyelesaian paling berkesan untuk negara dan bukan hanya sekadar mengalahkan Parti Amanah Negara (Amanah) menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Saya jawab, teramat murahlah perjuangan Pas jika sekadar berjuang untuk mengalahkan Amanah. Yang pasti, dengan Amanah masuk bertanding, ia membuka laluan lebih mudah buat Umno mengalahkan Pas dalam PRK ini.

“Amanah adalah kemuncup yang wujudnya adalah buat menghalang orang-orang yang lemah dalam perjuangan daripada terus mara ke hadapan. Adapun sebuah parti yang gagah bertakhta di hati rakyat seperti Pas, berbicara panjang hal kemuncup adalah seperti kerugian kehilangan masa bersama al-Quran kerana asyik menghadap Euro 2016. Tengok-tengok jugak, al-Quran harus ditadaruskan dan ditadabburkan,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment