Thursday, June 16, 2016

PAS benarkan Rani hadir program Azmin

 FMT| June 15, 2016
Dakwaan kononnya sebahagian anggota Dewan Ulama PAS mengecam tindakan Rani itu dan meminta pengundi PAS berpaling tadah dengan menyokong calon BN tidak benar sama sekali.
Iskandar-Abdul-Samad_Abdul-Rani-Osmn_600
SUNGAI BESAR: PAS sudah mengadakan perbincangan dengan Dr Abdul Rani Osman sebelum membenarkan calonnya di PRK Sungai Besar itu menghadiri majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Rani tidak akan dikenakan sebarang tindakan memandangkan beliau sekadar menghadiri majlis Menteri Besar Selangor, bukannya Pakatan Harapan (PH).
“Ini sebahagian daripada budaya politik matang dan sejahtera. Oleh kerana yang hadir tu menteri besar saya lihat tidak ada masalah.

“Dia sebagai ADUN bersama-sama untuk meraikan, ini satu politik baru yang dibawakan oleh PAS,” katanya dalam sidang media di Markas PAS Simpang Lima, hari ini.

Semalam, Azmin menemukan Rani dan calon PH, Azhar Abdul Shukur dalam satu majlis berbuka puasa dan di majlis itu Timbalan Presiden PKR itu mengumumkan sokongan kepada Azhar dan mendoakan Rani semoga berjaya.

Rani dalam ucapannya menjelaskan dirinya menerima pelawaan Azmin ke majlis itu atas dasar hubungan seorang ADUN menghormati seorang Menteri Besar.

Sementara itu, Iskandar berkata dakwaan kononnya sebahagian anggota Dewan Ulama PAS mengecam kehadiran Rani di majlis tersebut dan meminta pengundi PAS berpaling tadah dengan menyokong calon BN adalah tidak benar sama sekali.

“Ini merupakan tindakan terdesak oleh mereka yang mengeksploitasi isu ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Amanah akan mengheret enam ahlinya yang menyokong calon BN, Budiman Mohd Zohdi ke majlis tertinggi parti itu.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir mengesahkan enam individu yang diketuai bekas Timbalan Ketua Penaja Amanah Sungai Besar, Mohd Sapigni Tulus adalah ahli parti.
“Ini (lompat parti) berlaku dalam setiap pilihan raya. Bagaimanapun mereka telah melanggar undang-undang parti dengan mengumumkan sokongan kepada lawan kita.

“Kami tidak akan marah jika mereka beritahu mahu tukar parti. Kami akan alu-alukan langkah itu. Malah kami akan ucapkan terima kasih atas sumbangan mereka kepada parti,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Amanah Sungai Besar hari ini.

Semalam, enam pemimpin Amanah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti kerana mencalonkan Azhar yang disifatkan calon payung terjun kerana bukan anak tempatan dan menetap di Pahang.

Sapigni mendakwa mewakili 31 ahli Amanah lain yang tidak berpuas hati dengan tindakan parti tidak mengendahkan permintaan mereka memilih calon lain yang lebih berkebolehan.

Namun, Anuar menegaskan Azhar adalah anak tempatan, anak kepada seorang bekas ADUN, dan juga Ketua Amanah Bahagian Sungai Besar.
Jelasnya, faktor beliau hidup, bekerja dan berkahwin dengan wanita dari Temerloh bukanlah satu isu.

No comments:

Post a Comment