Sudah tiba masanya PAS dan UMNO mencorakkan budaya politik baharu yang mengenepikan perbezaan politik, ulas Dr Asyraf Wajdi
PETALING JAYA: Kurang empat hari tempoh berkempen bagi pilihan raya
kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pelbagai coretan cerita
dapat dilihat.
Namun lebih mencuri tumpuan apabila penyokong PAS mempelawa Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi supaya menjadi
imam solat Tarawih di Kuala Kangsar semalam.
Perkara itu dimuat naik sendiri Asyraf menerusi akaun Facebooknya.
Beliau menyifatkan penghormatan yang diberi penyokong PAS mengambarkan
suasana harmoni kempen PRK Kuala Kangsar.
“Seronok saya melihat suasana harmoni kempen pilihanraya di Parlimen
Kuala Kangsar kerana jentera PAS dan UMNO boleh solat berjemaah Tarawih
bersama bahkan pimpinan PAS kawasan dan ahli-ahli mereka juga setia
mendengar tazkirah daripada saya bahkan meminta saya menjadi Imam Isyak
dan Solat Terawih di Madrasah Taman Jasa Kuala Kangsar,” kata ustaz UMNO
itu.
Katanya sikap penyokong PAS dan UMNO itu jelas menunjukkan sudah tiba
masanya kedua-dua parti mencorakkan budaya politik baharu dengan
mengetepikan perbezaan pendapat dan meletakkan kepentingan Islam sebagai
asas utama perjuangan.
“Sudah tiba masanya kita mencorakkan budaya politik baru yang
meletakkan asas ukhuwwah dan kepentingan Islam melangkaui
kepentingan-kepentingan lain hinggakan kita mampu berjiwa besar dalam
menguruskan perbezaan-perbezan yang ada di antara sesama manusia,”
katanya.
Perkelahian antara penyokong PAS dan UMNO sebelum ini pernah sehingga
penyokong masing-masing enggan mengiktiraf imam daripada parti lawan,
lalu mencetuskan isu dua imam dalam satu masjid.
Namun kini, semangat puak antara parti Melayu dan parti Islam itu
dilihat kian terhakis apabila pimpinan kedua parti menyatakan kesudian
bekerjasama dengan kepentingan agama.
No comments:
Post a Comment