Wednesday, June 15, 2016

Rafidah: Najib dulu pun dalam kabinet Dr M

15/6/16

Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz menolak dakwaan campur tangan politik dalam Proton ketika era pentadbiran Tun Dr Mahahir Mohamad sebelum ini.

“Bukan campur tangan politik, kerajaan buat keputusan-keputusan kerana (ia perusahaan) kereta negara,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata, berlaku campur tangan politik dalam Proton ketika era Mahathir, yang juga pengasasnya.
Menurut beliau, kini zaman Mahathir telah berakhir dan firma kereta nasional itu telah belajar daripada kesilapan lalu untuk terus berjaya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Rafidah bagaimanapun mengingatkan bahawa Najib sendiri pernah berada dalam kabinet Mahathir sebelum ini.
“Jangan lupa, itu masa saya dalam kabinet, yang mana Najib pun ada sama,” katanya lagi.

Rafidah berkata, kepimpinan negara sentiasa membincangkan mengenai Proton ketika beliau masih di dalam kabinet.
Bagaimanapun katanya, setelah meninggalkan kabinet pada tahun 2008 beliau tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu.

“Saya tidak sedar (ada campur tangan politik). Kami sentiasa berbincang mengenai Proton di dalam kabinet ketika saya masih dalam kerajaan.
“Saya sudah lapan tahun tinggalkan kerajaan, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Zam: Belajar dari kesilapan
Sementara itu, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (gambar) berkata sekiranya Najib menganggap kemajuan Proton terhalang kerana campur tangan Mahatir, beliau seharusnya belajar daripada kesilapan.

“Kalau dia (Najib) anggap kegagalan Proton banyak kemajuan terhalang kerana campur tangan Tun Mahathir, harap dia belajar dari pengalaman, kesilapan Tun Mahathir untuk dia tidak campur tangan dalam pengendalian Proton,” katanya.

Justeru katanya, Najib seharusnya memberi jaminan tiada campur tangan politik dalam syarikat kereta nasional itu di bawah pentadbirannya.

“Sekurang-kurangnya dia (Najib) berusaha juga untuk menghidupkan Proton yang diwariskan oleh Tun Mahathir dengan jaminan tanpa campur tangan politik, dia akan dapat menjamin bahawa proton akan terus meningkat maju.

“Kalau dia (Najib) ada kepekaan itu dia harus belajar dan berpegang pada kata-kata dia, maknanya dia tidak campur tangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment