Malaysiakini 2 Jun 16
Landskap politik Malaysia menyaksikan pelbagai kelainan pelik mutakhir ini, dan yang terbaru organ DAP Roketkini menampilkan temubual eksklusif dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seperti dijangka, Mahathir dalam temubual tersebut terus menghujani kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut mengakui hak rakyat memilih sesiapa yang mereka mahu
sebagai pemimpin, termasuk bekas ketua pembangkang yang dipenjarakan,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, apa yang penting pada masa ini adalah menyingkirkan Najib dan kemudian mengembalikan semula proses demokrasi.
“Selagi mana Najib ada di situ, semua orang boleh bercakap, tentang
reformasi atau apa saja. Tapi apa pun tak jadi. Buang Najib, kembali
kepada demokrasi. Rakyat boleh buat pilihan mereka sendiri.
“Kalau Anwar keluar, tak kiralah. Kita balik kepada demokrasi. Rakyat
akan pilih kerajaan yang bagaimana yang mereka mahukan. Apa jadi
selepas itu, jika rakyat nak undi pilih Anwar, maka boleh pilih Anwar.
Jika mereka memilih kerajaan yang akan membebaskan Anwar, maka itu hak
mereka," katanya.
April lalu Mahathir sekali lagi mendakwa Anwar, yang beliau pecat
sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, tidak memiliki moral
untuk memimpin negara.
"Saya terpaksa memecat beliau daripada parti. Selebihnya adalah
mengenai kelakuan tidak bermoral dan orang-orang mengadu terhadapnya.
Pihak polis mengambil tindakan akibat daripada aduan itu dan terdapat
percubaan sembilan bulan sebelum beliau ditahan," katanya memberitahu
akhbar The Australian.
Mahathir dalam temubual dengan Roketkini bagaimanapun mengelak soalan mengenai sama ada pandangannya mengenai Anwar sudah berubah.
Sementara itu, Mahathir juga mengakui beliau tidak berkuasa untuk
menghalang rakyat daripada memilih DAP, parti yang pernah beliau kecam
sebagai cauvinis.
Katanya, selepas Najib diisingkirkan, kedaulatan undang-undang dan
perlembagaan perlu dikembalikan, termasuk kebebasan bersuara dan
berhimpun.
“Lepas tu kita akan ada pilihan raya umum, tanpa Najib. Terserahlah kepada rakyat. Kalau nak sokong reformasi, boleh teruskan.
“Rakyat akan pilih pemimpin mereka. Kena terima pilihan rakyat. Kalau
rakyat salah pilih, kita akan berhadapan masalah, dan akan terus
berpusing (dengan masalah yang sama). Kalau rakyat nak pilih DAP, saya
tak boleh buat apa-apa," katanya.
Bekas perdana menteri itu turut mengulangi kenyataannya bahawa ruang demokrasi telah merosot di bawah pentadbiran Najib.
“Ini nak buat laporan polis pun ditangkap, nak ke luar negara pun mereka nak pantau, akhbar dan media massa dikawal,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment