SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihak
berkuasa sedang menyiasat kes rampasan ayam proses dari China yang cuba
diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Senari, Kuching,
Sarawak.
Sehubungan itu, Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal Jakim,
menasihatkan pengguna agar sentiasa berhati-hati dalam memilih produk
dan barangan yang hendak dibeli.
“Untuk makluman pengguna, pihak Jabatan Agama Islam Sarawak bersama
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih menjalankan siasatan
mengenai pihak yang bertanggungjawab membawa masuk produk tersebut untuk
tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan tersebut mendedahkan Kastam, Jais Sarawak dan Jabatan Veterinar
Sarawak menahan sebuah kontena berisi daging ayam proses di Pelabuhan
Senari di sini pada pukul 8 pagi, Selasa lalu tetapi diisytiharkan dalam
dokumen sebagai sayur brokoli dari China.
Menurut laporan itu, Jabatan Veterinar telah mengesahkan pihaknya tidak
pernah mengeluarkan sebarang permit untuk pembekal mengimport ayam dari
China kepada mana-mana syarikat di negeri itu.
Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas sebuah syarikat penyimpanan sejuk beku makanan yang beralamat di Bintulu.
No comments:
Post a Comment