Monday, June 13, 2016

Rampasan ayam proses dari China sedang disiasat


Rampasan ayam proses dari China sedang disiasat
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihak berkuasa sedang menyiasat kes rampasan ayam proses dari China yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Senari, Kuching, Sarawak.

Sehubungan itu, Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal Jakim, menasihatkan pengguna agar sentiasa berhati-hati dalam memilih produk dan barangan yang hendak dibeli.

“Untuk makluman pengguna, pihak Jabatan Agama Islam Sarawak bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih menjalankan siasatan mengenai pihak yang bertanggungjawab membawa masuk produk tersebut untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan tersebut mendedahkan Kastam, Jais Sarawak dan Jabatan Veterinar Sarawak menahan sebuah kontena berisi daging ayam proses di Pelabuhan Senari di sini pada pukul 8 pagi, Selasa lalu tetapi diisytiharkan dalam dokumen sebagai sayur brokoli dari China.

Menurut laporan itu, Jabatan Veterinar telah mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk pembekal mengimport ayam dari China kepada mana-mana syarikat di negeri itu.

Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas sebuah syarikat penyimpanan sejuk beku makanan yang beralamat di Bintulu.

No comments:

Post a Comment