Usul Dewan Muslimat itu bukan untuk memutuskan hubungan sebagaimana pernah diluluskan muktamar sebelum ini yang melibatkan DAP.
PENGKALAN CHEPA: Tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR masih
diteruskan seperti biasa walaupun Dewan Muslimat menerima usul supaya
parti Islam itu mengkaji semula hubungan dengan sekutunya pada PRU14.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata usul Dewan
Muslimat itu bukan untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi sebagaimana
yang pernah diluluskan muktamar sebelum ini yang melibatkan DAP.
Katanya, ia untuk penambahbaikan hubungan dengan rakan tahaluf mereka dalam PKR.
“Ada usul beberapa pihak, kawasan dan dewan supaya PAS Pusat
merujukkan isu mengenai hubungan tahaluf siyasi dengan PKR kepada Majlis
Syura untuk buat kajian, bukan ke arah putuskan. Bagi kita ia ke arah
menambahbaikkan.
“Kita lihat ada perkara yang tidak jelas dan sebagainya dalam usul
itu, (jadi ia diusulkan) untuk kajian. Apa bentuk hubungan sekarang ini
yang kita rasa perlu diperbaiki, kita ambil dari sudut positif,” katanya
ketika ditemui pemberita selepas Muktamar PAS ke-62 di Putik Hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata
usul yang diluluskan Dewan Muslimat PAS susulan wujudnya ‘rasa tidak
puas hati’ sesetengah ahli saja dan ia tidak menyeluruh.
Katanya, usul itu lebih kepada pandangan Dewan Muslimat dan ia akan diteliti dan dikaji Majlis Syura Ulama.
“Itu pandangan daripada Muslimat, kita akan lihat. Kita beri kepada
Majlis Syura, akan teliti daripada pro dan kontranya. Tapi saya
optimistik hubungan masih terus.
“Banyak perkara yang mereka (Muslimat) masih tak tahu banyak. Mungkin
ada pihak yang tak puas hati, tapi ini hanya minor, bukan masalah
besar, hanya masalah kecil. Mereka tak tahu banyak perkara, dia lihat
begitu saja. Kita akan lihat keseluruhan,” katanya.
Mengulas mengenai kebimbangan akan berlakunya kerenggangan hubungan
PKR susulan usul tersebut , Mustafa berkata, beliau yakin rakan tahaluf
PAS itu akan memahami situasi berkenaan.
No comments:
Post a Comment