Monday, July 25, 2016

Amanah sokong gabungan pembangkang baharu

Sinar Harian
Mohamad Sabu
Mat Sabu
KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan akan menyertai gabungan pembangkang baharu yang diura-ura bakal ditubuhkan dalam masa terdekat.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun penyertaan Amanah bukan secara bersendirian sebaliknya bersama-sama Pakatan Harapan.

"Mesyuarat tadi (semalam) kami tumpu ura-ura nak wujudkan grand coalition. Jadi kita bincang bagaimana Amanah akan mainkan peranan kalau berlaku grand coalition pembangkang ini untuk hadapi PRU14.

"Kita bincang daripada pelbagai aspek baik buruk agar semua parti pembangkang dapat berada dalam satu barisan untuk hadapi BN. Jika ia direalisasikan,  Amanah akan bersama dalam grand coalition itu," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi Amanah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui merancang untuk menubuhkan parti politik baharu dalam masa terdekat sebelum membentuk blok pembangkang yang lebih besar di negara ini.

Menurut Mahathir, pihak yang menyokong Deklarasi Rakyat sebelum ini telah bersetuju terhadap perancangannya itu.

Mahathir juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk NGO dan bekas ahli Umno, Rabu ini, bagi mendengar pandangan mereka mengenai parti baharu itu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Amanah turut mengalu-alukan sekiranya Pas ingin menyertai gabungan pembangkang baharu itu.

"Itu kita tidak tahu (sama ada Pas akan sertai atau tidak), bergantung kepada mereka. Tetapi kita mengalu-alukan semua pihak untuk berada dalam grand coalition ini," katanya.

Katanya, gabungan itu juga bukan soal pertembungan Amanah dan Pas tetapi bertujuan mengalahkan BN.

"Tidak, bila kita dalam grand coalition tidak bertembung (dengan Pas). Kita bertembung dengan BN," katanya

No comments:

Post a Comment