Apandi sepatutnya telah mengarahkan SPRM dan polis membuka semula kertas siasatan terhadap 1MDB.
PETALING JAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali disaran
bertemu rakan sejawatnya di Amerika Syarikat (AS) bagi mengetahui
identiti ‘Malaysian Official one’ dalam siasatan Jabatan Kehakiman AS
(DoJ) keatas dakwaan pengubahan wang yang dilesapkan daripada 1MDB.
“Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika
Syarikat (DoJ), orang ini memiliki sejumlah RM2.6 bilion dalam akaun
peribadinya di Ambank Malaysia,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin.
“Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang
sebanyak itu dalam akaun peribadi di Ambank selain Najib (Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak)!” tambahnya.
Muhyiddin yang digugurkan daripada Jemaah Menteri Julai tahun lepas
dan dipecat daripada Umno Jun lalu antara individu yang lantang
mengkritik kontroversi sekitar 1MDB dan sumbangan wang yang ditemui
dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Muhyiddin dalam kenyataannya petang tadi mendakwa perkembangan
terbaharu ini menunjukkan tindakan dan pendiriannya bahawa kes syarikat
milik kerajaan itu merupakan satu kes penyelewengan adalah sahih dan
benar.
“Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset,
tetapi ia juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan.
Mereka telah mencuri wang milik 1MDB! Maka ia adalah suatu jenayah!”
tegas Muhyiddin.
Katanya Apandi sepatutnya terperanjat dengan penemuan pasukan
penyiasat AS dan terus menghantar pasukan penyiasat Malaysia ke AS untuk
mengambil tindakan susulan.
“Beliau juga sepatutnya telah mengarahkan SPRM (Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis membuka semula kertas siasatan
terhadap 1MDB.
“Bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui
sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara
asing menemuinya?” soal Muhyiddin.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman pada Rabu kerana
mahu merampas aset-aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada
suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan
daripada 1MDB”.
No comments:
Post a Comment