Saturday, July 9, 2016

MB enggan ulas khutbah Aidilfitri JAIS sokong hudud

Malaysiakini 9/7/16

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali hari ini enggan mengulas mengenai khutbah Aidilfitri yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung rang undang-undang persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketika diminta ulasannya berhubung khutbah Aidilfitri Rabu lalu yang dilihat 'menyokong' rang undang-undang presiden PAS itu, Azmin sekadar berkata:

"(Khatib) tak sebut pun nama presiden PAS (Abdul Hadi)," katanya ringkas kepada pemberita semasa ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri Selangor di ibu negara hari ini.
Rabu lalu, JAIS mengeluarkan khutbah Aidilfitri yang melahirkan rasa syukur berhubung kemenangan umat Islam dengan pembentangan rang undang-undang persendirian oleh Abdul Hadi.

Malah, khutbah itu turut menyatakan syukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak cabaran daripada kumpulan Sister in Islam (SIS) terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai 'sesat'.

Khubah tersebut dibacakan di masjid-masjid seluruh Selangor pada pagi hari raya pertama.
Ia juga menggesa umat Islam untuk mengambil kesempatan pada musim perayaan ini untuk saling bermaafan, meningkat hubungan silatulrahim dan saling menziarahi sesama mereka.

Isu pelaksanaan hukum hudud dikatakan antara faktor yang membawa kepada ‘kematian’ Pakatan Rakyat tahun lalu apabila DAP dengan lantang menentang PAS yang mahu menjuarainya.

Meskipun terkubur, namun kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak dibubarkan tetapi Azmin selaku menteri besar cukup berhati-hati kerana kerajaan negeri pimpinannya akan tumbang jika tidak mendapat sokongan ADUN PAS mahupun DAP.

Sementara itu, Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri tersebut turut dihadiri oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Malah kelihatan bersama adalah adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Mohd Nazir Razak.
Beberapa pimpinan PKR juha hadir, antaranya, presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, naib presidennya Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

No comments:

Post a Comment