KUALA LUMPUR - Bekas isteri Perdana Menteri keempat, Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali, 90, mendedahkan rahsia hidupnya di dalam buku
autobiografinya, 'My Name Is Hasmah'.
Bercakap ketika pelancaran bukunya itu di Glasshouse, Seputeh hari
ini, Siti Hasmah berkata, buku itu menceritakan kehidupan
terselindungnya yang mungkin tidak diketahui umum.
"Banyak rahsia saya terkandung dalam buku ini, kisah ketika kecil
serta kehidupan saya sepanjang sebagai isteri bekas perdana menteri,"
katanya.
Sementara itu ketika menggulas lanjut mengenai bahagian kegemaran
beliau dalam buku itu, Siti Hasmah berkata, beliau menyukai setiap bab
yang ditulisnya.
"Buku ini buatkan saya gila (berseloroh), kerana ia idea pada
minit-minit akhir, tetapi Alhamdulillah ianya berjaya juga diterbitkan.
"Bagi saya setiap yang saya tulis di dalam bab-bab dalam buku ini membuatkan saya rasa gembira dan menyukai," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya oleh pengacara majlis, Yasmin Yusof
adakah beliau mendapat keizinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk
menerbitkan buku itu, Siti Hasmah berkata, sewaktu menulis buku Doctor
in the house, Mahathir sendiri tidak meminta kebenaran daripadanya.
Pada majlis pelancaran bukunya itu, Siti Hasmah turut diraikan dengan
sebiji kek sempena sambutan ulang tahun ke-90, majlis itu dihadiri oleh
seluruh keluarganya, rakan terdekat dan media.
Buku itu setebal 248 muka surat memaparkan kisah suka duka perjalanan
hidupnya, karier dan pengalamannya dalam perubatan serta pengembaraannya
ke seluruh dunia sebagai isteri Mahathir.
My Name Is Hasmah dikarang oleh kumpulan editor Salt Media Group dan diterbitkan oleh Alaf 21, Kumpulan Karangkraf.
Ia dijual pada harga RM80 senaskhah di kedai buku. Anda juga boleh mendapatkan buku ini di mall.karangkraf.com.
Versi Bahasa Melayu, Nama Saya Hasmah akan turut diterbitkan dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment