Sunday, July 24, 2016

PAS letak calon jika PRN Pulau Pinang diadakan

 | July 23, 2016
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata DAP dan PKR perlu sedar mereka bergantung kepada akar umbi PAS untuk menang pada pilihan raya umum lalu.
ALOR SETAR: PAS akan meletakkan calon di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang sekiranya pilihan raya mengejut diadakan di negeri itu.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun akan bertanding secara bersendirian, PAS mempunyai kekuatan dan mendapat sokongan di negeri itu yang boleh membantu calon parti untuk menang.

“Kita (PAS) ada kekuatan di negeri itu kerana sejarah penubuhan parti ini di Pulau Pinang. DAP dan PKR perlu sedar mereka bergantung kepada akar umbi kita (PAS) untuk menang pada pilihan raya umum (ke-13) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada PAS akan bertanding dalam pilihan raya negeri itu sekiranya diadakan semasa ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Sementara itu, Hadi berkata PAS tidak menolak untuk bekerjasama dengan parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya parti itu nanti tidak lari daripada matlamat dan perjuangan Islam.

Katanya, PAS sebelum ini mengambil kesempatan untuk bekerjasama dengan semua pihak dengan syarat parti itu tidak mengganggu dasar Islam yang dibawa PAS sejak awal penubuhannya.
“Kita (PAS) tidak ganggu dasar yang dibawa DAP dan mereka yang ganggu dasar PAS, kita bertegas dengan perkara ini dan akhirnya mereka (DAP) keluar daripada Pakatan Rakyat yang turut disertai PKR.

“PAS hari ini terus konsisten dengan dasar yang diperjuangkan sejak dulu lagi. Blok ketiga yang diwujudkan PAS, bekerjasama dengan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment