Malaysiakini 22/7/16
Naib Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil menggesa rakyat Malaysia untuk
tidak terpedaya dengan dakyah bahawa tindakan Jabatan Keadilan (DOJ)
Amerika Syarikat untuk menyita dan merampas aset lebih AS$1 bilion yang
dikaitkan dengan 1MDB hanya sekadar saman sivil, dan dengan itu bukan
perkara serius.
Faiz yang juga seorang peguam, berkata saman pelucutan hak sivil itu
hanya tindakan awal mengikut undang-undang Amerika Syarikat, dan
pendakwaan jenayah akan menyusul.
Katanya, sesetengah orang mungkin keliru dengan istilah yang digunakan, iaitu mengenai sama sivil atau jenayah.
Faiz berkata, tindakan yang diambil oleh Inisiatif Pemulihan Asset
Kleptokrasi adalah untuk mendapatkan semula aset yang diperoleh melalui
cara jenayah.
Pemimpin AMANAH itu berkata, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar
Musa dan juga menteri yang bertanggung jawab terhadap hal ehwal
undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said cuba meremehkan isu
berkenaan dengan perkataan "sivil apabila menerangkan tindakan di
Amerika Syarikat itu.
Faiz, yang juga adalah anak kepada Presiden PAS, Allahyarham Fadzil
Noor, ditanya sama ada tindakan berkenaan adalah tidak serius seperti
yang didakwa pemimpin Umno dan mengapa peguam negara Amerika daripada
bahagian jenayah yang mengetuai saman itu.
Beliau berkata AS menggunakan undang-undang bertulis iatu Title 18 US
Code (USC) yang berkaitan dengan undang-undang jenayah dan
undang-undang prosedur jenayah, yang hampir serupa dengan Kanun
Keseksaan di Malaysia dan Kanun Tatacara Jenayah.
"Walaupun seksyen yang disebut tersebut adalah 'civil
forfeiture' tetapi tindakan yang diambil oleh DOJ adalah tindakan
dibawah undang-undang jenayah Amerika Syarikat.
"Adakah rakyat masih lagi boleh ditipu dan diperdayakan dengan cara membodohkan minda rakyat yang tidak celik undang-undang.
"Tindakan 'civil forfeiture' ini adalah tindakan permulaan
sebelum tindakan di bawah peruntukan undang-undang jenayah diambil,"
katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau hairan mengapa polis Malaysia tidak menemui
sebarang unsur penyalahgunaan sedangkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI)
berjaya mengesannya.
"Bagaimana Peguam Negara USA boleh mendapati ada salahlaku jenayah sedangkan Peguam Negara Malaysia boleh membersihkan PM.
"Perkara yang berlaku ini jelas memalukan negara di mata
antarabangsa yang pasti memandang rendah sistem undang-undang dan
keadilan negara yang korup," katanya.
Selain itu, menurut Faiz, fakta-fakta yang dibentangkan di
dalam saman sivil itu konsisten dengan fakta-fakta penyelewengan 1MDB
yang didedahkan selama ini yang mengaitkan penglibatan dan faedah yang
diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, Najib mesti bertanggungjawab kerana skandal terbesar yang telah mencemarkan reputasi negara.
"Ini adalah kerana di bawah Artikel 117 M&A 1MDB,
perdana menteri adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB yang meluluskan
semua pelaburan antarabangsa yang dimanipulasi untuk diubah dan
disalurkan secara haram kepada beberapa entiti dan pemilikan aset-aset
milik keluarga dan kenalan rapat beliau.
"Dakwaan YB Tony Pua yang mengaitkan PM sebagai 'Malaysian
Official 1' juga tidak dinafikan. Malahan, kertas kausa civil forfeiture
tersebut tidak pula membersihkan nama dan penglibatan Najib.
"Adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia terutama
pembayar cukai apabila duit 1MDB yang diubah dan disalurkan secara haram
ini dilakukan melalui pakatan bersama untuk kegunaan peribadi seperti
beli jet, kapal layar, hartanah, lukisan mahal Van Gogh dan Monet, bayar
hutang judi di Las Vegas dan lain-lain lagi.
"Mungkinkah misteri derma RM2.6 billion sebenarnya wang 1MDB yang merupakan wang rakyat dan negara akan terbongkar?" soalnya.
No comments:
Post a Comment