Anthony berkata, penderma tahu DAP menggunakan hasil sumbangan untuk tujuan politik.
PETALING
JAYA: DAP mempertimbangkan penubuhan dana bantuan guaman bagi membantu
individu yang menjadi mangsa pendakwaan politik seperti Setiausaha
Agungnya, Lim Guan Eng.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, kempen derma RM10
setiap orang untuk membantu Ketua Menteri Pulau Pinang itu kini mencecah
RM1.85 juta dan akan diteruskan untuk membiayai aktiviti “Sokong,
Simpati dan Solidariti bersama Lim Guan Eng 2.0″.
“Apa sahaja baki yang kami ada akan disalurkan kepada parti. Ia adalah sumbangan buat DAP, bukan untuk Lim seorang.
“RM1 juta akan dijadikan wang ikat jamin dan baki yang kami kutip akan disalurkan kepada kempen ini dan parti.
“Kami akan membuat pengumuman dalam dua hingga tiga minggu lagi
mengenai cara kita akan menggunakan sumbangan itu,” katanya dalam sidang
media di ibu pejabat DAP hari ini.
Anthony menjelaskan, penderma tidak pernah mempersoalkan kegunaan
sumbangan mereka kerana parti itu sentiasa telus mengenai perkara
berkenaan.
“Mereka yang menderma yakin terhadap DAP kerana mereka menderma
kepada DAP selama ini dan kebimbangan berhubung cara kita menggunakan
sumbangan itu tidak dibangkitkan penderma.
“Mereka tahu DAP menggunakan hasil sumbangan itu untuk tujuan politik,” katanya.
Jelasnya, buku akaun DAP juga sentiasa terbuka kepada ahlinya.
“Media juga boleh mendapatkan salinan itu. Saya tidak rasa ada parti
politik lain yang membentangkan penyata akaun mereka kepada ahli pada
kongres kebangsaan,” katanya.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyokong kenyataan Anthony
itu berkata, parti itu tidak pernah memaksa sesiapa menyumbang bagi
menyokong matlamat mereka dan kempen kutipan derma itu sekadar untuk
menentang pendakwaan politik dalam negara ini.
“Ia bukan semuanya kerana Lim. Kami memberi platform kami serta pelan
kebangkitan dan untuk berbuat demikian, kami perlukan sokongan orang
ramai. Satu daripada sokongan yang diperlukan adalah kewangan.
“Jadi, kita menggesa orang ramai terus menderma kepada kami, bukan
untuk kepentingan peribadi kami sendiri, tetapi sebagai sebahagian
kempen kami untuk menentang Barisan Nasional,” kata Ahli Parlimen
Petaling Jaya Utara itu.
DAP berjaya mengumpul RM1,009,000 dalam tempoh 21 jam setakat 2
petang 1 Julai lalu untuk menggantikan dana parti yang digunakan bagi
membayar wang ikat jamin RM1 juta ditetapkan Mahkamah Tinggi untuk
membebaskan Guan Eng, susulan dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya
akhir bulan lalu.
Sejumlah RM890,000 dikeluarkan dari akaun DAP Pulau Pinang, manakala
RM110,000 disumbang Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur untuk membebaskan
Guan Eng.
No comments:
Post a Comment