Tuesday, July 26, 2016

PSM tidak selesa dengan parti besar

 FMT| July 25, 2016
Pertelingkahan antara mereka merugikan parti-parti picisan seperti PSM, kata Ahli Parlimen Sungai Siput
jeyakumar-psm
PETALING JAYA: Pertelingkahan antara parti besar seperti PAS, DAP dan PKR merugikan parti picisan seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ahli Parlimen Sungai Siput berkata pimpinan parti-parti tersebut sepatutnya mendahului usaha menyelesaikan perbezaan dan membentuk kerjasama menumbangkan Barisan Nasional (BN), namun mereka seolah kehilangan fokus dan memecah-belahkan pengundi mereka.

Lantaran teladan yang ditunjukkan parti-parti itu ketika ini, PSM mengambil sikap berhati-hati sebelum menyertai kerjasama dengan mana-mana pakatan pembangkang, kata Dr Michael Jayakumar Devaraj.

“Kita tak begitu selesa dengan cara parti pembangkang sedang bertelingkah, walaupun ada perbezaan fikiran amat serius antara PAS dengan DAP,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
“Dia bukan bimbing satu perpaduan untuk jatuhkan BN.

“Kita ini parti kecil. Parti-parti besar kena buat inisiatif itu. Mereka kena buat kerana mereka besar, kita tak boleh pimpin, anjurkan,” tegasnya, mengulas samada PSM akan menyertai gabungan pembangkang dalam satu kerjasama menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Pada ketika ini terdapat dua pakatan pembangkang yang tersedia dan dua lagi pakatan pembangkang baharu dalam perancangan.

Pakatan Harapan dibentuk DAP, PKR dan Amanah atas pusara Pakatan Rakyat yang terlerai susulan pergaduhan antara PAS dan DAP.
PAS kemudiannya membentuk blok baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan bekas menteri penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Sementara itu, tujuh parti picisan dilaporkan mahu membentuk gabungan melibatkan Parti Reformasi Negeri (Star), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (Sapu), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Baru), Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan daripada Semenanjung, Parti Alternatif Rakyat (PAP).

Tidak lama selepas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno, dan perletakan keahlian oleh bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan parti baharu yang akan menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Menurut Mukhriz, parti itu tidak jauh berbeza daripada Umno dari segi prinsip.
PSM berpandangan pakatan-pakatan ini  dan parti-parti pembangkang lain perlu bekerjasama sekiranya mahu mencabar dominasi BN dengan berkesan.
“Untuk tukar BN, parti-parti pembangkang kena bersatu padu. Jika kita berpecah belah, tak mungkin (akan menang),” tegas Michael.

No comments:

Post a Comment