Tuesday, July 26, 2016

Suruhanjaya diraja lebih efektif banding tribunal

Sinar Harian
1MDB
1Malaysia Development Berhad
SHAH ALAM - Penubuhan suruhanjaya diraja merupakan medium terbaik kepada penyelesaian berkaitan syarikat pelaburan negara, 1MDB berbanding penubuhan tribunal.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana anggota suruhanjaya diraja terdiri daripada kalangan berstatus bebas dan bukan dalam kalangan ahli politik, manakala pembentangan laporan dilakukan Yang di-Pertuan Agong.

“Suruhanjaya diraja lebih efektif kerana orang yang dipanggil memberi keterangan wajib hadir,” katanya.

Beliau mengulas saranan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kerajaan menubuhkan tribunal bebas menyiasat dan memulakan pendakwaan terhadap laporan dikeluarkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, minggu lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu 1MDB: Muhyiddin cabar Najib ambil tindakan susulan]

Bagaimanapun, katanya, terdapat kelemahan dalam prosedur suruhanjaya diraja itu di mana undang-undang membenarkannya untuk tidak dibentang kepada umum.

“Itu adalah kemungkinan kelemahan prosedur sekiranya suruhanjaya diraja ditubuhkan,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, isu 1MDB perlu kepada penyelesaian segera, dengan adanya satu jawatankuasa yang mempunyai asas undang-undang, barulah ia efektif dan telus.

Menurutnya, mereka yang berpengalaman luas dalam urusan bank antarabangsa amat sesuai menyertai jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa ini mesti benar-benar bebas. Mereka yang pernah berada politik atau ada kaitan politik sebelum lantikan juga seharusnya tidak jadi ahli.

“Sebaliknya, mereka yang berlatar belakang undang-undang dan audit amat sesuai. Misalnya bekas hakim, bekas akauntan atau juruaudit negara,” katanya

No comments:

Post a Comment