Tuesday, July 19, 2016

Terengganu gam Asri: Exco belum terima maklumat penuh

 FMT| July 18, 2016
Perkara itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, jelas Ghazali
ghazali-taib-asri-terengganu
PETALING JAYA: Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas Ghazali Taib berkata belum mendapat maklumat lengkap larangan terhadap Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berceramah di Terengganu.

Exco yang bertanggungjawab keatas hal ehwal agama itu menambah perkara itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Isu melibatkan agama di bawah Duli Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, Datuk Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Omar Musa, Ahli Pangkuan DiRaja dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung larangan itu.

“Saya mengetahui perkara ini melalui siaran akhbar dan belum mendapat maklumat penuh,” jawabnya.
Pada 16 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan larangan ceramah dikeluarkan melalui surat bertarikh 5 Julai lepas yang ditandatangani Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Datuk Omar Musa.

Menurut laporan itu lagi, surat dua perenggan itu tidak menyatakan sebab mengapa larangan itu dikeluarkan.
Larangan itu bukan kali pertama buat Asri yang sebelum ini dilarang daripada berceramah di negeri Johor awal tahun ini.
Sebelum ini, Asri ketika belum dilantik semula sebagai Mufti Perlis ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman peribadi.

Ketika dihubungi FMT, jurucakap JHEAT enggan memberi apa-apa komen berhubung larangan tersebut. FMT juga masih dalam usaha untuk mendapatkan komen Asri tentang perkara ini.

No comments:

Post a Comment