JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seorang wanita berumur 25 tahun
dipercayai individu menggunakan akaun Facebook menyebarkan kenyataan
palsu berkaitan isu keagamaan di negeri ini terhadap Permaisuri Johor,
Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, wanita
terbabit yang menyebarkan kenyataan palsu terhadap Raja Zarith menerusi
aplikasi Facebook ditahan kira-kira jam 3.45 petang, di Kampung Parit
Sempadan, Parit Raja, Batu Pahat.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati Permaisuri Johor tidak pernah
mengeluarkan kenyataan sebagaimana yang terdapat di laman sosial
Facebook berkenaan.
"Polis turut merampas tiga telefon bimbit jenis Nokia, Huawei dan
Doogee yang dipercayai telah digunakan suspek bagi memuatnaik kenyataan
palsu tersebut.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda
sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya
sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan
itu diteruskan selepas disabitkan," katanya dalam satu kenyataan yang
dimuatnaik di laman Facebook Polis Johor, hari ini.
Wan Ahmad Najmuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak
menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan
kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya,
mengugut dan mengganggu orang lain.
"Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa,
sifat hormat menghormati dan sifat kesopanan serta kesusilaan adalah
begitu penting dalam menjamin keharmonian sebuah negara.
"Saya juga mengingatkan bahawa Polis Johor tidak akan berkompromi dan
akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit," katanya.
No comments:
Post a Comment