Friday, July 22, 2016

Wanita ditahan kerana sebar kenyataan palsu Permaisuri

Wanita ditahan kerana sebar kenyataan palsu Permaisuri
JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seorang wanita berumur 25 tahun dipercayai individu  menggunakan akaun Facebook menyebarkan kenyataan palsu berkaitan isu keagamaan di negeri ini terhadap Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, wanita terbabit yang menyebarkan kenyataan palsu terhadap Raja Zarith menerusi aplikasi Facebook ditahan kira-kira jam 3.45 petang, di Kampung Parit Sempadan, Parit Raja, Batu Pahat.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati Permaisuri Johor tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebagaimana yang  terdapat di laman sosial Facebook berkenaan.
"Polis turut merampas tiga telefon bimbit  jenis Nokia, Huawei dan Doogee yang dipercayai telah digunakan suspek bagi memuatnaik kenyataan palsu tersebut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen  233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya disabitkan kesalahan  boleh didenda  sehingga RM50,000  atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Polis Johor, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihatkan orang ramai  supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi  bagi mengeluarkan kenyataan palsu  dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan  mengganggu orang lain.

"Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, sifat hormat menghormati dan sifat kesopanan serta kesusilaan adalah begitu penting  dalam menjamin  keharmonian sebuah negara.
"Saya juga mengingatkan bahawa Polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment