Friday, August 5, 2016

Kuota jawatan Petronas tidak bagus untuk pekerja

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berpendapat meletakkan kuota jawatan pengurusan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dikhususkan hanya untuk rakyat Sarawak tidak baik untuk kakitangan syarikat itu.
Menurutnya, tindakan itu hanya akan membantutkan perkembangan dan kemajuan kerjaya kakitangan Petronas.

"Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Kuching menyarankan agar pekerja dari Semenanjung Malaysia yang bekerja sebagai eksekutif Petronas dilarang masuk ke negeri itu.
Katanya, larangan itu perlu terus dikuatkuasakan sehinggalah Petronas meningkatkan penyertaan rakyat Sarawak dalam pengurusan di negeri itu ke tahap 70 peratus.

Dalam pada itu, menurut Rafizi, kesan tindakan itu hanya akan menimbulkan rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan Petronas ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak.

"Kesannya, kakitangan Petronas dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak.
"Tapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan Petronas yang lebih besar dan mencabar," katanya.

Beliau mengajak ahli-ahli politik dan rakyat Sarawak untuk memfokuskan bantahan dan kritikan kepada punca sebenar masalah mereka iaitu kerajaan persekutuan.
"Tindakan menyalahkan Petronas bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah pada pendapat saya bertentangan dengan kebajikan kakitangan eksekutif Petronas yang berasal dari Sarawak sendiri," katanya yang pernah berkhidmat dengan Petronas sebelum ini.

Beliau menegaskan syarikat besar bertaraf dunia seperti Petronas yang telah terbukti menjadi tulang belakang negara perlu dilindungi daripada menjadi bola sepak permainan politik.

"Mandat yang diberikan kepada Petronas ialah untuk mendapatkan nilai yang terbaik daripada setiap molekul hidrokarbon yang ada di negara ini dan itu hanya boleh dicapai sekiranya Petronas beroperasi sepenuhnya mengikut pertimbangan komersil dan profesional.

"Soal ketidakadilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan kerajaan persekutuan," katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah juga Kerajaan Sarawak menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh Petronas.

"Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh Petronas dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara.
"Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

"Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari BN atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung," katanya

No comments:

Post a Comment