Thursday, September 29, 2016

100 pekerja sebuah kilang diberhentikan


Sinar Harian
operator kilang
Gambar Hiasan



BATU KAWAN - Sekumpulan 100 pekerja sebuah kilang hari ini mengadakan demonstrasi aman di sini kerana mendakwa mereka dianiaya oleh majikan yang menamatkan perkhidmatan mereka hanya dengan memberi notis 24 jam.

Kumpulan itu yang sebahagian besarnya bertugas sebagai operator syarikat pengeluar 'crystalline silicon solar cell' itu yang berpusat di tanah besar Pulau Pinang, mendakwa mereka diberi notis bertarikh 26 Sept untuk memaklumkan bahawa hari terakhir mereka bekerja adalah pada 27 September.
Notis itu turut meminta pekerja terbabit menghadirkan diri di jabatan sumber manusia syarikat berkenaan pada 28 Sept (hari ini) untuk memulangkan barangan hak milik syarikat.

Seorang wakil kumpulan itu, Nurul Amirah Ahmad, berkata mereka berasa sangat kecewa apabila hanya notis 24 jam diberi oleh majikan untuk memaklumkan bahawa mereka tidak lagi bekerja pada esok hari.
Beliau berkata, majikan juga enggan bertemu atau memberi penjelasan lanjut berhubung isu itu selepas notis berkenaan diserahkan.

"Sungguhpun hakikatnya kami mendapat pampasan, namun kami telah kehilangan kerja dan dalam keadaan sekarang, amat sukar untuk kami mencari kerja di tempat lain," katanya semasa demonstrasi itu di hadapan kilang berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, para pegawai syarikat tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.
Pegawai Hubungan Perindustrian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Pulau Pinang V. Viji berkata tindakan pemberhentian kerja oleh syarikat terbabit dengan memberi notis  24 jam adalah satu kesalahan dan dianggap sebagai pemberhentian tidak adil.
"Tindakan syarikat itu adalah jelas suatu pelanggaran undang-undang buruh dan kod perilaku keharmonian perindustrian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata satu perjumpaan akan diatur dengan kumpulan pekerja itu bagi meneliti melihat bentuk bantuan yang mereka perlukan.

"Adalah amat malang perkara ini berlaku, kami akan cuba mempertimbang beberapa cara untuk membantu mereka. Jika mereka merasakan berlaku penipuan, misalnya, mereka boleh membawa perkara ini ke tengah," katanya.

Menurut laporan semalam, sebuah kilang di sini melakukan aktiviti pemberhentian dengan memberi notis 24 jam dan lebih 100 pekerja yang terlibat juga dinasihati supaya tidak datang bekerja pada hari berikutnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment