SHAH ALAM – Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dilaksanakan oleh
kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah
mengancam sistem demokrasi dalam negara ini.
Menerusi kenyataan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamed dan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menjelaskan bahawa akta berkenaan juga telah mengenepikan secara
langsung kuasa serta peranan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja
Melayu dalam isu kepentingan keselamatan dan kebebasan rakyat negara
ini.
“Kita perhatikan hampir semua institusi-institusi utama negara seperti
polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan
Bank Negara telah pun dikuasai sepenuhnya oleh beliau,”kata kenyataan
tersebut.
Selain daripada itu, kenyataan berkenaan juga menyebut akta itu turut
menidakkan hak sesiapa yang terbunuh, sama ada pegawai atau orang awam
diperiksa (post-mortem) untuk menentukan sebab-sebab kematian dan ia
besar kemungkinan akan menyebabkan berlakunya salah laku.
Oleh kerana krisis negara yang berlaku tersebut, Mahathir dan Anwar
bersama dengan rakyat akan menentang akta berkenaan bagi membawa
perubahan serta reformasi demi menyelamatkan hak kebebasan rakyat
disamping memajukan semula negara ini.
Tun Mahathir sebelum ini membuat kejutan apabila hadir ke mahkamah bagi
memberikan sokongan kepada Anwar berhubung petisyen dibawa bekas
timbalannya itu untuk mencabar akta MKN yang diluluskan tanpa perkenan
Raja-Raja Melayu.
No comments:
Post a Comment