Sinar Harian
15 September 2016
SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengumumkan menyokong penganjuran Himpunan Bersih 5 pada 19 November depan.
Menurut Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu, demonstrasi atau
tunjuk perasaan secara aman tidak akan membawa kepada huru-hara atau
malapetaka kepada mana-mana negara.
Malah katanya, ia bukan perkara luar biasa kerana ada negara maju yang
membenarkan rakyatnya berdemonstrasi atau tunjuk perasaan tanpa
kekerasan.
“Di antara negara yang rakyatnya selalu berdemonstrasi termasuk Amerika
Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan hampir seluruh negara EU.
Jepun, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Indonesia juga tidak ketinggalan
meraikan ruang demokrasi ini.
“Rakyat di negara-negara ini selalu keluar secara beramai-ramai
menyatakan ketidaksukaan mereka terhadap sesuatu perkara atau sesuatu
isu yang dilakukan oleh pemimpin di negara mereka, atau tunjuk perasaan
terhadap kuasa besar atau mana-mana negara lain yang mengancam negara
mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, perhimpunan aman bukanlah faktor penentu turun naik jumlah kedatangan pelabur ke negara ini.
“Pelabur-pelabur sentiasa datang kerana mereka tahu negara tersebut
aman dan rakyat sentiasa diberi peluang untuk bertindak tanpa mengangkat
senjata.
“Sebaliknya, negara-negara diktator yang tidak mengizinkan demonstrasi
aman dan berakhir dengan peristiwa berdarah berlaku di negara-negara
timur tengah. Negara itu tidak disukai oleh para pelabur,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment