Saturday, September 3, 2016

BN akan hilang 45 kerusi dengan hanya 4% undi tukar angin

 FMT| September 3, 2016
Muhyiddin berkata, kajian yang dijalankan pakar juga menunjukkan BN mempunyai 7 kerusi goyah.
 
BAK BERNAM: Barisan Nasional tidak sekuat yang dilihat kerana ia boleh kehilangan 45 kerusi dengan mudah pada pilihan raya umum akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas timbalan perdana menteri itu mendakwa, apa yang diperlukan ialah sebilangan kecil pengundi beralih angin kepada pembangkang.
“Kajian saya menunjukkan BN mempunyai 67 kerusi goyah.
“Satu kajian dijalankan pakar yang saya lantik mendedahkan anjakan 4% peratus undi akan menyaksikan 45 kerusi BN jatuh ke tangan pembangkang,” katanya dalam jerayawara anti-1MDB anjuran PKR yang dihadiri kira-kira 500 orang, malam tadi.
 
 Sehubungan itu, presiden sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyeru semua parti pembangkang supaya bersatu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam siri jelajah memfokuskan 1MDB yang dilabelkan “1Malaysia Dalam Bahaya” itu, Muhyiddin turut menjawab persoalan beberapa pihak berhubung kesahihan dakwaannya yang Datuk Seri Najib Razak mempunyai hampir RM1 bilion dalam akaun peribadinya sebelum menerima RM2.6 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mahu bukti mengenai dakwaan Muhyiddin itu yang dikatakan diberikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Tidak perlu tanya dari mana saya dapat maklumat itu. Saya beritahu anda ia datang daripada bekas peguam negara. Jika mahu tahu lebih banyak, pergi tanya beliau,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.
Ini adalah pusingan pertama siri jelajah seluruh negara yang bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk di pinggir dan luar bandar mengenai skandal 1MDB serta kesannya kepada kehidupan rakyat.

Ia turut dihadiri ketua pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muhyiddin Yassin3

No comments:

Post a Comment