Thursday, September 22, 2016

Dituduh halang PR1MA, Selangor jawab Noh Omar

 FMT| September 21, 2016
Kerajaan negeri Selangor dikatakan berbincang dengan PR1MA dan banyak perkara dipersetujui bagi menjayakan projek pembinaan rumah mampu milik atau Rumah Selangorku.
prima
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mempersoal tuduhan Tan Sri Noh Omar yang pihaknya tidak bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam membangunkan projek Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Membidas perkara itu Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Abdul Samad berkata kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan PR1MA dan banyak perkara dipersetujui bagi menjayakan projek pembinaan rumah mampu milik atau Rumah Selangorku.
“Kerajaan negeri juga sudah meluluskan sebuah projek Rumah Selangorku di Cyberjaya dijadikan projek PR1MA.

“Noh Omar berkata demikian mungkin kerana PR1MA bukan di bawah kementeriannya tetapi perdana menteri. Oleh itu beliau ketinggalan dan oleh itu gagal memberi maklumat lanjut tentang projek-projek PR1MA di Selangor,” katanya kepada FMT.

Iskandar juga mencadangkan agar projek PR1MA diletakkan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memudahkan Noh mendapat maklumat yang lengkap dan bukannya menyalahkan kerajaan negeri.
Memetik laporan Bernama, Noh mendakwa sebanyak 27 projek PR1MA meliputi 51,000 unit rumah gagal dilaksanakan di Selangor kerana mendapat halangan daripada kerajaan negeri.

Tambahnya, kerajaan negeri juga tidak membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah membeli rumah dengan pemberian subsidi sebagaimana dilakukan kerajaan pusat melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

No comments:

Post a Comment